SHAH ALAM: Teknologi kecerdasan buatan (AI) di negara ini perlu diterapkan dengan nilai atau ilmu Islam dan bukannya pemikiran Barat semata-mata.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu antara kebimbangan dalam usaha mengembangkan penggunaan teknologi berkenaan ketika ini.
Tegas beliau, semua korpus ilmu boleh dimasukkan dengan jawapan yang relevan kerana penggunaan AI dianggap sebagai neutral.
“Ia terserah kepada kita kalau ia mahu dikembangkan di Malaysia dan saya sedang mengasak kuat supaya universiti mempunyai fakulti AI dan seumpamanya.
“Jika mahu berjaya, anak kita yang mempunyai kemahiran kepakaran itu mesti dilatih dengan nilai atau khazanah ilmu Islam termasuk Thurath dalam korpus tersebut.
“Jadi, apa yang ‘dimuntahkan’ robot baharu AI itu adalah berdasarkan ilmu yang dimasukkan kepadanya. Kini, kita hanya serah kepada Barat,” katanya ketika berucap merasmikan Seminar Penghayatan Riyadhu As-Salihin sempena Festival Turath Islami di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.
Pada majlis itu, beliau meluncurkan Terjemahan Kitab Ihya’ Ulumuddin dan Kitab Hadis 40 dengan turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Anwar berkata, Thurath mempunyai kaitan dan fungsi untuk diterapkan dalam teknologi AI supaya ilmu itu tidak terpisah dengan sistem dan nilai akhlak Islam.
Dalam pada itu, beliau meminta semua institusi pendidikan dan pelajar Islam dari peringkat rendah ke universiti membaca Hadis 40.
“Apa yang paling pentingnya adalah membaca hadis matan, terjemahan dan syarahannya.
“Kupasan Syeikh Dr. Ali Jum’ah yang telah diterbitkan itu menjadi salah satu panduan kerana hadis tidak boleh dikupas secara rambang mengikut tafsiran dan kepentingan tersendiri,” ujarnya.
Kata beliau, Kitab Riyadu as-Solihin diterjemah kepada bahasa Melayu oleh Ustaz Sharif Daud al-Bangkalis pada 1953 di Singapura diikuti beberapa terjemahan lain termasuk daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“Kekuatan umat Islam harus datang daripada ilmu sahih dan benar yang kita gali menerusi sumber tradisi luas serta mendalam.
“Anak muda kini harus dididik mengenai khazanah Turath kita dan tahniah kepada Kerajaan Selangor kerana berjaya menterjemah buku syarah Hadis 40 yang diharap menjadi silibus untuk diajar di masjid dan surau selain pelajar,” katanya. – UTUSAN






