KUALA LUMPUR: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sedang melakukan kajian mengenai perolehan kapal terpakai sebagai alternatif ekoran kelewatan pembinaan kapal tempur pesisir (LCS).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, salah satu daripada kapal terpakai yang diteliti adalah membabitkan kapal kelas frigat HMAS Anzac milik Tentera Laut Diraja New Zealand.
Bagaimanapun, menurut beliau, kapal tersebut dirumuskan sebagai tidak sesuai oleh TLDM dan bukan kepentingan kerajaan serta rakyat atas beberapa faktor.
“TLDM rumuskan HMAS Anzac tak sesuai berdasarkan kepada perkara seperti isu berkaitan peralatan serta kos perolehan yang tak menguntungkan kerajaan.
“Selain itu, jika lakukan perolehan HMAS Anzac, prosesnya akan ambil masa yang dijangkakan sehingga 2027. Namun pada tahun itu, kita sudah dibekalkan dengan dua kapal LCS iaitu pertama dan kedua yang akan diserahkan dan mula beroperasi pada 2027,” katanya semasa sesi Soal Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Mohamed Khaled Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) yang meminta kementerian menyatakan perkembangan terkini LCS dan alternatif untuk menangani kelewatan projek itu.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, Kementerian Pertahanan (Mindef) sebelum ini melakukan perolehan tiga kapal misi pesisir (LMS) dari Turkiye yang mana ketiga-tiganya akan siap menjelang akhir 2027.
Dalam pada itu, beliau berkata, kemajuan LCS2 kini pada 64.66 peratus, manakala LCS 3 (56.48 peratus), LCS 4 (51.10 peratus) dan LCS 5 (42.33 peratus).
“Berhubung jumlah bayaran yang telah dibuat bagi pembinaan LCS2, berdasarkan kontrak yang telah ditandatangani, Kementerian tidak melaksanakan bayaran mengikut kemajuan setiap kapal secara individu, sebaliknya bayaran dilaksanakan mengikut kemajuan keseluruhan projek LCS sepertimana pandangan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK).
“Selaras dengan perkara ini, kerajaan telah membayar RM7.15 bilion bersamaan 63.69 peratus berbanding perancangan asal pembayaran iaitu 68.43 peratus berdasarkan kontrak mengikut kemajuan semasa perolehan LCS secara keseluruhannya,” jelasnya. – UTUSAN






