KUALA TERENGGANU: Pertunjukan Layang-Layang Gergasi Antarabangsa Kuala Terengganu 2024 di Dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu di sini, bermula semalam berjaya mengangkat kembali martabat permainan tradisional itu agar terus diminati orang ramai terutama generasi muda.
Pegawai Tugas-tugas Khas Persatuan Penggiat dan Pemain Wau Negeri Terengganu, Zulkifli Abd. Rani berkata, seramai 35 peserta dari 15 negara telah menerbangkan pelbagai jenis layang-layang pada pertunjukan tersebut.
Menurutnya, antara negara yang menghantar peserta ialah Indonesia, Thailand, Macau, Hong Kong, China, Poland, Austria, Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat, Ukraine dan Sweden.
“Sejak semalam, Dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu ini diserbu orang ramai yang mahu menyaksikan layang-layang gergasi menghiasi udara.
“Antara layang-layang diterbangkan adalah karakter kartun terkenal Upin Ipin, sotong gergasi, ‘rainbow delta’, ‘spinner’ dan pelbagai jenis haiwan lain.
“Kita berharap orang ramai akan terus membanjiri dataran ini sepanjang pameran berlangsung untuk merasai sendiri pengalaman menarik terutama kanak-kanak,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Pertunjukan tersebut diadakan dengan kerjasama Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) untuk melonjakkan lagi industri pelancongan di negeri itu terutama daerah Kuala Terengganu.
Sementara itu, wakil Komunitas Pencinta Layang-layang Nusantara, Talikama Lianawati Lea berkata, Terengganu berpotensi menjadi destinasi penganjuran utama untuk pertandingan dan pameran layang-layang gergasi pada masa akan datang .
“Lokasi ini (Dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu) strategik kerana terletak antara muara sungai dan laut, sesuai untuk menerbangkan layang-layang gergasi dan dikunjungi ribuan orang.
“Sebenarnya, ini kali pertama saya datang ke Terengganu dan kagum dengan keindahan pantainya yang boleh dimanfaatkan untuk penganjuran program berskala besar seperti layang-layang gergasi.
“Pertunjukan seperti ini sangat positif untuk pertumbuhan ekonomi terutama usahawan kecil-kecilan kerana festival seumpama ini yang telah diadakan di Jogjakarta pada tahun lalu berjaya menarik kedatangan lebih 50,000 pengunjung,” katanya. – UTUSAN



