NIBONG TEBAL: Calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail, 56, semalam melancarkan manifesto berteraskan ‘KERJA’ dalam usaha untuk memenangi hati pengundi di Sungai Bakap menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan itu, Sabtu ini.
Huruf K dalam akronim ‘KERJA’ itu bermaksud Khidmat Kepada Masyarakat dan antara iltizam yang terkandung meliputi penyediaan dua buah pusat khidmat masyarakat bagi memudahkan penduduk mendapatkan bantuan selain menggerakkan sukarelawan komuniti untuk penganjuran program mesra rakyat.
Huruf E pula mewakili Ekonomi dan Peluang Pekerjaan yang akan ditingkatkan menerusi penganjuran program Latihan serta bimbingan di samping menggerakkan produk pelancongan untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan.
Selain itu, huruf R merujuk kepada Rangkaian Infrastruktur yang menjurus kepada beberapa tekad antaranya untuk menyelesaikan masalah berkaitan bekalan air serta menambah baik kemudahan awam.
Sementara itu, huruf J pula membawa erti Jaminan Mengutamakan Rakyat yang menguatkan azam Abidin untuk membawa suara rakyat dalam DUN serta menentang polisi kerajaan yang membebankan.
Huruf A seterusnya memberi makna Amanah dan Integriti iaitu membuat pemantauan projek untuk memastikan ia bebas daripada unsur rasuah dan salah guna kuasa yang merujuk kepada menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah menerusi pemberian laporan tahunan kepada rakyat Sungai Bakap.
Pengumuman manifesto ‘Tawaran Buat Rakyat’ oleh PN sempena PRK Sungai Bakap itu dibuat di Bilik Gerakan Nexbyte PN di sini, hari ini dengan dipengerusikan oleh Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff.
Usai pengumuman itu dibuat, Abidin atau mesra dengan panggilan Abang Abidin berkata, beliau pasti manifesto terbabit dapat disampaikan kepada rakyat biar pun kempen PRK kini berbaki tiga hari sahaja lagi.
Katanya, ada antara tawaran itu sebenarnya telah pun dilaksanakan dan beliau hanya menyambung legasi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap terdahulu iaitu Allahyarham Nor Zamri Latiff.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan penerimaan masyarakat pelbagai kaum sepanjang kempen berlangsung amat positif.
“Hari ini sudah hari kesebelas kita berkempen dan maklum balas masyarakat tanpa mengira kaum amat positif. Tidak perlu letak berapa peratus (sokongan) tapi ‘movement’ (gelombang) itu ada,” katanya.
PRK DUN Sungai Bakap yang diadakan berikutan kematian penyandangnya iaitu Nor Zamri pada 24 Mei lepas akibat penyakit keradangan dalam perut menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Abidin dengan calon Kerajaan Perpaduan iaitu Dr. Joohari Ariffin. – UTUSAN






