BUTTERWORTH : Badan Perhubungan UMNO Melaka bakal menentukan tindakan yang wajar dikenakan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis yang menyertai Pas ketika masih digantung keahlian dalam parti itu.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, bagaimanapun, ia merupakan hak prerogatif beliau iaitu Muhamad Jailani dan parti sekiranya isu itu dibawa ke mahkamah.
Katanya, Muhamad Jailani telah menandatangani ‘aku janji’ berkaitan, malah, beliau sendiri terlibat dalam proses tersebut.
“(Dan) seperti yang disebutkan oleh Ketua Menteri (Melaka), Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, ia adalah urusan parti untuk menyelesaikan masalah ini.
“Mereka perlu menyelesaikannya, jadi, kita tinggalkan kepada parti di perhubungan UMNO Melaka serta pada peguam masing-masing.
“Maksud saya, ia merupakan prerogatif mereka dan hak mereka untuk masuk ke mahkamah,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Muhammad Jailani yang mendakwa dirinya tidak terikat dengan sebarang perjanjian, apabila mengisytiharkan keluar daripada UMNO dan menyertai Pas baru-baru ini.
Terdahulu, Azalina hadir merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Mertajam di Perai, di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sudah berbincang dengan Ab. Rauf untuk menentukan bentuk tindakan atau hukuman yang bakal diberikan terhadap Muhammad Jailani.
Bagaimanapun, beliau berkata, sebarang tindakan lanjut perlu dibawa ke Majlis Tertinggi (MT) UMNO untuk mendapatkan pandangan secara konsensus.
Isu timbul apabila Muhamad Jailani dilapor hadir pada majlis pengumuman calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram di Bakri, Johor, tahun lalu.
Beliau bagaimanapun mempertahankan tindakannya dengan menegaskan bahawa kehadirannya pada majlis tersebut bukan atas kapasiti sebagai ADUN UMNO, sebaliknya mewakili pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Muafakat Nasional (MN) yang diterajui bekas Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Muhamad Jailani dilapor turut menyertai perarakan pada proses penamaan calon Pas Parlimen Ketereh, Kelantan dan rentetan itu, Lembaga Disiplin UMNO pada September tahun lalu, mengesyorkan keahlian Muhammad Jailani digantung selama enam tahun.-UTUSAN






