PETALING JAYA: Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan 2024) yang dibentang dan dibahaskan di Parlimen baru-baru ini masih menjurus kepada pelaksanaan hukuman.
Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), Dr. Mohd Fadzli Mohamad Isa berkata, perkara tersebut bertentangan dengan hasrat kerajaan untuk menyahjenayahkan penggunaan dadah yang sepatutnya dianggap sebagai sejenis penyakit perubatan dan kesihatan.
Malah katanya ia juga bertentangan dengan model perubatan yang membuktikan masalah penagihan dadah sebagai penyakit kronik yang berulang-ulang.
“Hasil dapatan sains menunjukkan bahawa penggunaan dadah membabitkan perubahan sistem biologi badan terutamanya otak dan juga faktor psikologikal dan sosial.
“Model perubatan yang dijadikan asas pemahaman ini telah membuktikan bahawa masalah penagihan dadah merupakan antara penyakit yang kronik yang berulang-ulang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu Dr. Mohd Fadzil menggesa kerajaan mengkaji semula keperluan pemakluman wajib kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) oleh pengamal perubatan yang memberikan rawatan kepada pengguna dadah.
“Walau apa pun sebab di sebalik keperluan ini, MPA merasakan ketiadaan pemakluman wajib ini akan membuka pintu yang lebih luas dan meyakinkan pengguna dadah untuk mendapatkan rawatan perubatan daripada pengamal Perubatan di kedua-dua sektor kerajaan dan swasta.
“Ini juga akan lebih memesrakan proses rawatan dan pemulihan. Lebih ramai pengamal perubatan akan berminat untuk memberikan rawatan apabila kerahsiaan antara doktor dengan pesakit dapat dikekalkan tanpa diketahui oleh pihak ketiga,” jelasnya
Tambahnya, pemindaan akta sebegini penting dilakukan berdasarkan input dan pandangan semua pemegang taruh dalam bidang rawatan dan pemulihan dadah. – UTUSAN






