PONTIAN: Minat mendalam terhadap persatuan pengakap mendorong seorang guru berbelanja puluhan ribu ringgit untuk mengumpul koleksi berkaitan pasukan beruniform itu dari seluruh dunia sejak sembilan tahun lalu.
Selain pakaian, Khairil Anuar Mosmin, 46, turut mengumpul lencana, skaf, kepala tali pinggang dan topi.
Minat itu dikongsi bersama-sama isterinya, Suriani Kaskon, 42, dan anak-anak mereka, Muhammad Danial Darwisy, 16; Nur Damia Darwisya, 11; Nur Dhia Darwisya, 9, serta Muhammad Dafiq Darwisy, 5.
Guru di Sekolah Menengah Kebangsaan ( SMK ) Sri Perhentian, dekat sini itu mula mengumpul lencana dan skaf serta pakaian seragam selepas menyertai jambori pengakap seluruh dunia di Yamaguci, Jepun, sembilan tahun lalu.
Dia mewakili negara membawa 30 helai baju pengakap untuk pertukaran dengan peserta luar negara sebagai tanda persahabatan pada hari terakhir program berkenaan.
“Tidak sangka detik itu telah menyuburkan minat saya dan isteri untuk mengumpul baju pengakap dari seluruh dunia termasuk dari Amerika Syarikat, Mesir, Australia, United Kingdom (UK), Itali, Mexico, Perancis, Singapura, Brunei, Korea dan Filipina. Setakat ini sebanyak 130 helai baju pengakap dari 80 negara disimpan sebagai koleksi selain lencana dan skaf,” katanya ketika ditemui Nexbyte di Taman Mutiara, di sini.
Khairil Anuar yang merupakan Ketua Penolong Pesuruhjaya Negeri Johor (Unit Pengakap Muda) dan Penolong Pesuruhjaya Daerah Pontian (Unit Pameran) tidak berhasrat menjual koleksi itu kerana mempunyai nilai persahabatan dengan rakan-rakan dari seluruh dunia.
Beliau juga pernah mempamerkan koleksi itu sewaktu program Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2023 yang singgah di daerah ini serta Sambutan 100 Tahun Pengakap Kedah 2022 dan Pameran koleksi Pengakap di Ibu Pejabat Pengakap di Kuala Lumpur.
“Baru-baru ini saya menyertai pameran koleksi pakaian dan kelengkapan pengakap pada ‘4th Singapore International Friendship Fiesta 2024’,” katanya yang merupakan penerima Anugerah Guru Cemerlang Kokurikulum Negeri Johor 2018 dan 2023.
Sepanjang penglibatan dalam persatuan pengakap, Khairil Anuar telah menyertai Jambori di Jepun, Singapura dan Brunei. – UTUSAN






