IPOH: Barisan Nasional (BN) Perak melihat potensi untuk bertanding semula di 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu yang dimenangi oleh Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ini memandangkan BN merupakan parti kedua menerima undi terbanyak di kesemua 18 kerusi tersebut.
Jelasnya, peluang bertanding semula itu adalah menerusi kerjasama BN dan Pakatan Harapan (PH) dengan berdasarkan prinsip parti yang mengumpul undi kedua terbanyak akan diberikan keutamaan.
Pada masa sama katanya, BN tetap akan bertanding di kesemua sembilan kerusi yang dimenangi parti itu semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Kita dah ada 18. Yang ada (telah menang) sekarang ini sembilan. Maknanya 27 sekurang-kurangnya kan, Mungkin lebih,” katanya kepada pemberita selepas upacara penutup Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT 2024) Ke-7 anjuran Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menafikan laporan media sebelum ini bahawa BN akan bertanding di 18 kerusi DUN Perak, yang telah memberi gambaran seolah-olah BN hanya bertanding 18 kerusi sahaja dalam pilihan raya akan datang.
Saarani berkata, perkara itu dinyatakan beliau sewaktu menghadiri Mesyuarat UMNO Bahagian Sungai Siput pada Ahad lalu.
Kata beliau, perkara itu dibangkitkan susulan kehadirannya ke Mesyuarat UMNO Bahagian Padang Rengas pada Sabtu apabila Ketua Bahagian UMNO Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menyatakan parti itu mahu bertanding di Parlimen Padang Rengas serta dua DUN di bawah Parlimen tersebut iaitu Chenderoh dan Lubok Merbau kerana mendapat undi kedua terbanyak.
Semasa PRU-15, daripada 59 DUN Perak, BN memenangi sembilan, PH menang 24 manakala PN menang 26. Bagaimanapun BN bergabung dengan PH bagi membentuk Kerajaan Perpaduan Perak. – UTUSAN





