KUALA LUMPUR: Hukuman denda RM100 yang dikenakan terhadap wanita dikaitkan dalam kes buli siber terhadap pempengaruh, Rajeswary Appahu atau Esha pada 16 Julai lalu tidak sepatutnya menjadi spekulasi mana-mana individu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, pertuduhan dibuat berdasarkan bukti-bukti yang diperoleh sewaktu siasatan dilakukan.
Jelasnya, denda dikenakan sebanyak RM100 merupakan hukuman maksimum bagi peruntukkan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
Kata beliau, wanita berkenaan telah dituduh di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan penama yang dituduh mengaku bersalah dijatuhkan hukuman RM100.
“Itu denda maksimum, bukan kata mengapa (denda) RM100? Bukti yang ada itulah membolehkan pertuduhan Seksyen 14.
“Orang pertikai kenapa kita tuduh Seksyen 14, kalau bukti kuat, yang itu sahaja kita tuduh,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Kelmarin, seorang wanita yang dikaitkan dalam kes buli siber terhadap Esha didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan mengeluarkan kata-kata kesat.
Majistret Arunjothy M. Selvaraju menjatuhkan hukuman itu terhadap Shalini Periasamy, 35, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan dihadapinya.
Mengulas lanjut, Rusdi menegaskan pihaknya sentiasa bersedia untuk menyiasat jika menerima laporan dan petunjuk baharu.
“Sama ada wujud bukti atau tidak, kita akan rujuk untuk pertuduhan. Mereka yang terlibat akan dipanggil bergantung kepada kesesuain masa,” jelasnya. – UTUSAN






