KANGAR: Sebanyak 891 kilogram dadah pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM75.87 juta dirampas di negeri ini hanya dalam tempoh enam bulan dari Januari hingga Jun lepas.
Ia meliputi dadah jenis heroin seberat 1.6 kilogram bernilai RM55,673.80, syabu 628 kilogram (RM62,776,506) dan ganja 261 kilogram (RM13,040,713).
Ketua Polis negeri, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, terdapat beberapa rampasan dadah lain turut dilakukan pihaknya dalam tempoh sama meliputi pil Erimin 5 seberat 64.07 gram dengan nilai RM640.70, air ketum seberat 694 liter bernilai RM6,940 dan daun ketum seberat 15,000 kilogram bernilai RM147,647.
“Selain itu, kita turut merampas dadah lain seperti pil Yaba seberat 46.63 gram dianggarkan bernilai RM466.30 dan ketamine seberat 102 gram dengan nilai sekitar RM153 bagi tempoh sama,” katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Muhammad berkata, kejayaan rampasan dadah yang dilaksanakan pihaknya turut dibantu Pasukan Gerakan Am (PGA) dan polis marin.
Katanya, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Perlis juga akan sentiasa komited bagi meneruskan usaha membanteras aktiviti pengedaran dan penyeludupan dadah di negeri ini.
“Ini termasuklah dengan melakukan operasi serta kempen pencegahan melalui pameran, ceramah dan sebagainya,” katanya.
Dalam perkembangan berlainan, Muhammad berkata, menerusi risikan dilakukan mendapati kes penyeludupan migran khususnya di kawasan sempadan masih berlaku dan pihaknya memerlukan kerjasama daripada penduduk setempat bagi menyalurkan maklumat.
Katanya, usaha bagi melakukan kawalan dan risikan jenayah sentiasa dilakukan di kawasan sempadan menerusi kerjasama antara IPK Perlis dan PGA.
“Walaupun kita sentiasa kerjasama bagi memastikan aktiviti penyeludupan migran atau dadah di sempadan dapat dikawal namun penglibatan penduduk setempat juga amat diharap bagi membantu dalam menangani kes-kes sebegini,” katanya. – UTUSAN






