PETALING JAYA: Pelajar insititusi pengajian tinggi (IPT) yang menghidapi HIV akibat daripada seks rambang perlu mendapatkan rawatan segera bagi mengelak keadaan menjadi lebih buruk.
Pengerusi Persatuan Pengurangan Kemudaratan Malaysia (MSHR), Profesor Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh, pelajar yang menghidapi HIV tidak perlu berasa malu dan harus mendapatkan rawatan segera sebelum ia menular kepada Aids.
“Antara rawatan yang akan diberikan adalah Highly Active Antiretroviral Therapy (HAART),” katanya ketika dihubungi.
Mengulas kes HIV yang tinggi dalam kalangan pelajar IPT, beliau berkata, pendidikan mengenai keselamatan HIV perlu dipertingkatkan seawal sekolah rendah.
“Pendidikan umum perlu diberi kepada pelajar sekolah dan mereka digalakkan untuk rujuk kendiri atau pergi ke klinik berdekatan sekiranya berisiko,” ujarnya.
Katanya, HAART berfungsi bagi mengurangkan risiko jangkitan kuman dan memanjangkan jangka hayat pesakit.
“Bagi kes berisiko tinggi, ubatan profilaksis boleh diberi awal untuk mengelakkan jangkitan kuman lain terus berlaku,” katanya.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dalam jawapan bertulis di Parlimen berkata, sebanyak 244 individu yang berusia antara 18 tahun hingga 25 tahun dijangkiti penyakit HIV pada 2023.
Kementerian Pengajian Tinggi dilaporkan berkata, jumlah pelajar IPT yang dijangkiti HIV adalah antara 6.7 hingga 7.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes yang dikenal pasti.
“KPT sentiasa cakna dan prihatin terhadap kesejahteraan mahasiswa, termasuk isu-isu melibatkan masalah kesihatan dan jangkitan penyakit.
“Atas dasar keprihatinan ini dan mengambil kira faktor julat usia mahasiswa tergolong dalam kategori kumpulan berisiko, KPT menerusi universiti awam cenderung merancang dan melaksanakan pelbagai program memupuk budaya hidup sihat serta khusus menfokuskan kepada program berbentuk advokasi, kesedaran mahupun pencegahan berkaitan penyakit HIV,” katanya.
Dalam pada itu, berdasarkan statistik yang dikongsikan Persatuan Aids Malaysia (MAC), pada tahun 2022, golongan homoseksual atau biseksual penyumbang tertinggi HIV iaitu sebanyak 60 peratus.
Kadar itu meningkat lebih 50 peratus berbanding 10 tahun lepas yang hanya mencatatkan kadar lapan peratus sahaja daripada golongan itu. – UTUSAN






