KUALA LUMPUR: Kerajaan membayar sebanyak RM936.12 juta tuntutan skim perlindungan takaful percuma, MySalam melibatkan 1.27 juta penerima manfaat bagi tempoh 2019 hingga Disember 2023.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, penerima manfaat itu melibatkan individu golongan berpendapatan rendah (B40) dan pasangan berumur 18 tahun hingga 65 tahun yang merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Katanya, pembayaran tuntutan paling tinggi dibuat sebanyak RM382 juta pada 2022 untuk 650,000 penerima, diikuti RM246.72 juta untuk 365,000 penerima.
“Bayaran ini melibatkan tuntutan manfaat hospitalisasi, penyakit kritikal, pesakit di bawah siasatan, Covid-19 dan tuntutan kos peranti perubatan,” katanya semasa sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator R. A. Lingeshwaran (DAP) mengenai jumlah pampasan yang dibayar kerajaan.
Dalam pada itu, kata Hui Ying, dianggarkan lebih 10.92 juta rakyat Malaysia terdiri daripada golongan B40 layak menerima manfaat skim MySalam tahun ini.
Katanya, Selangor mencatat jumlah penerima layak paling tinggi iaitu 1.48 juta orang diikuti Johor (1.34 juta orang) dan Sarawak (1.13 juta orang) manakala bilangan penerima layak bagi Kelantan seramai 825,000 orang.
Menjawab soalan Senator Datuk Seri Zurainah Musa (UMNO) mengenai jumlah individu yang menikmati potongan cukai insurans perubatan dan nyawa, kata Hui Ying, secara purata ialah 2.14 juta orang setahun.
“Potongan ini memberi penjimatan bayaran cukai sebanyak RM635 juta setahun.
“Purata pembayar cukai yang menuntut potongan cukai bagi premium insurans pendidikan dan perubatan untuk tempoh sama ialah dua juta setahun dengan penjimatan cukai RM611 juta setahun,” katanya. – UTUSAN






