KUALA NERUS: Dua atlet kebangsaan dalam sukan bola jaring dan sukan memanah adalah antara 337 pelajar Asasi Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang mendaftar di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini, hari ini.
Dua atlet tersebut ialah atlet bola jaring, Nur Azra Azmi, 18, dan atlet memanah, Mia Tifal Noor Afendy, 17,
Nur Azra yang berasal dari Kelantan berkata, dia amat berbangga terpilih untuk melanjutkan pelajaran di UMT kerana sangat berminat dalam bidang sains apatah lagi UMT adalah peneraju dunia STEM terunggul di Malaysia.
Menurutnya, kelebihan yang ada sebagai atlet kebangsaan akan digunakan sebaiknya untuk sama-sama menaikkan nama UMT dalam sukan bola jaring.
“Insya-Allah, saya akan memanfaatkan peluang ini untuk belajar dengan baik dan membahagikan masa dengan sempurna untuk sukan dan akademik,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Sementara itu, Mia Tifal pula, tawaran Asasi STEM dari UMT sukar dilepaskan meskipun mengakui ia agak mencabar memandangkan dia tidak mengambil aliran sains tulen ketika berada di sekolah menengah.
“Namun saya akan berusaha dapatkan bimbingan daripada pensyarah dan rakan-rakan sepanjang mengikuti pengajian ini nanti.
“Saya juga berazam untuk terus mengharumkan nama UMT dalam sukan memanah serta sudi untuk berkongsi kepakaran kepada pelajar-pelajar lain yang berminat dalam sukan tersebut,” katanya.
Selain Nur Azira dan Mia Tifal, UMT turut menerima tiga pelajar Orang Asli bagi pendaftaran sesi kali ini.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMT, Profesor Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain berkata, kemasukan dua atlet kebangsaan itu akan menjadi nilai tambah untuk UMT dalam perkembangan sukan tersebut.
“Di UMT, kita sentiasa memastikan aspek kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa terjamin contohnya, kita ada menawarkan bantuan Dana Siswa dan Job on Campus (JOC) untuk mahasiswa menjana pendapatan,” katanya. – UTUSAN





