KEMAMAN: Seorang pekerja cedera manakala dua rakannya terselamat, dalam kejadian kebocoran gas hidrokarbon di sebuah kilang di kawasan Perindustrian Kerteh, dekat sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira 4.05 petang, mangsa berusia 29 tahun cedera di bahagian betis selepas terjatuh ketika cuba menyelamatkan diri ketika kejadian tersebut.
Dua lagi pekerja masing-masing berusia 23 dan 45 tahun tidak mengalami kecederaan.
Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II Azman Alias berkata, seramai 15 anggota dari Balai Bomba Kerteh dan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) bergegas ke lokasi kejadian selepas panggilan kecemasan diterima pihaknya.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, kita dapati terdapat kebocoran gas di bahagian paip ‘onshore’ yang bersaiz lima inci yang sedang dalam proses baik pulih oleh kontraktor yang dilantik.
“Kami membuat semburan ‘cooling down’ pada paip tersebut hingga tekanan gas itu hilang,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Azman berkata, operasi ditamatkan kira-kira pukul 5.28 petang dan siasatan lanjut mengenai punca kejadian masih dalam siasatan. – UTUSAN





