KUALA TERENGGANU: Penduduk di Kampung Paloh di sini gempar dengan kehadiran seekor beruang yang berkeliaran di kampung itu, semalam.
Video berdurasi 27 saat yang memaparkan seekor beruang melarikan diri ke dalam belukar di kampung itu turut tular di media sosial.
Melalui komen di video tersebut, ada warganet yang mendakwa beruang tersebut dipercayai beruang yang sama ditemukan berkeliaran di sekitar Kampung Undang dan Bukit Payong di Marang beberapa hari lalu.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, pihaknya masih belum menerima laporan rasmi mengenai kehadiran beruang di kampung berkenaan.
Menurutnya, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mengganggu beruang tersebut bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
“Orang ramai yang ternampak beruang itu dinasihatkan agar memberi lokasi tersebut kepada pihak Perhilitan.
“Jangan sesekali kejar atau cuba mengganggu beruang itu atau mana-mana haiwan liar yang ditemui,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Tambahnya, orang ramai boleh maklumkan penemuan itu dan lokasi penemuan melalui WhatsApp di talian hotline Perhilitan iaitu 011-6498 9551. – UTUSAN






