PETALING JAYA: Tiada keperluan untuk menaiktaraf pendidikan tingkatan enam atau menukarkannya menjadi salah satu cawangan matrikulasi bagi membuka akses pendidikan kepada pelajar bumiputera.
Menurut bekas Pensyarah Pendidikan, Universiti Malaya (UM), Tan Sri Datuk Dr. T. Marimuthu, kedua-dua saluran pendidikan itu mempunyai kelebihan tersendiri dan biarkan pelajar sendiri yang menentukan aliran pendidikan mereka tanpa mengira kaum.
“Tingkatan enam diiktiraf dan sudah pun digelar sebagai Kolej Tingkatan Enam, jadi tiada keperluan untuk menukarkannya sebagai cawangan matrikulasi.
“Kerana kedua-dua ini saluran pendidikannya berbeza, yang kurang cemerlang boleh juga masuk tingkatan enam, peluang pendidikan juga cerah kerana tingkatan enam terdiri daripada sains sosial dan sains.
“Tingkatan enam juga kosnya lebih murah, jadi sangat bagus untuk pelajar B40 yang kurang berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran ke universiti mahupun matrikulasi,” jelasnya.
Terdahulu, Nexbyte melaporkan kerajaan dicadangkan menaik taraf Kolej Tingkatan Enam sebagai pusat matrikulasi agar dapat menampung lebih ramai kemasukan pelajar tanpa mengira kaum.
Idea itu dilontarkan oleh Timbalan Pengerusi Kluster Reformasi Pendidikan dan Modal Insan Majlis Profesor Negara (MPN), Dr. Anuar Ahmad berhubung keputusan kerajaan agar semua lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh keputusan 10A dan ke atas diberikan ruang melanjutkan pelajaran ke peringkat matrikulasi.
Menurut Anuar, perkara itu juga supaya lebih ramai pelajar cemerlang SPM dapat melanjutkan pengajian.
Dalam pada itu, Pensyarah di Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr. Hasnah Toran berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) perlu mengubah perspektif masyarakat bahawa matrikulasi lebih baik dan mudah jika dibandingkan dengan program tingkatan enam.
Katanya, KPM perlu mencari punca mengapa ramai pelajar melayu bahkan pelajar cemerlang takut untuk menyambung pelajaran ke tingkatan enam.
“Sudah tiba masanya KPM mengkaji isu ini, dasarnya semua anak-anak Malaysia perlu mempunyai peluang untuk sambung belajar, tidak kira bangsa atau pencapaian mereka.
“Bagi saya langkah ini penting sebagai usaha berterusan untuk sentiasa memperbaiki lagi tahap kualiti pendidikan Malaysia,” jelasnya. – UTUSAN





