IPOH: Langkah merujuk perincian mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 kepada Majlis Raja-Raja disifatkan sebagai jalan terbaik jika keseragaman ingin dilaksanakan di setiap negeri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, sebarang isu berkaitan agama Islam yang menyentuh undang-undang diri orang Islam jika dihasratkan amalan yang seragam di seluruh negara perlu bermula daripada Jawatankuasa Muzakarah Kebangsaan diikuti Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) seterusnya Majlis Raja-Raja.
“Di bawah Perlembagaan, kita perlu jelaskan bahawa urusan berkaitan hal ehwal undang-undang diri orang Islam berada di bawah kuasa raja-raja negeri. Bagi negeri-negeri yang tiada sultan, bidang kuasa itu berada di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam.
“Dalam konteks RUU Mufti ini, ia adalah pemakaian undang-undang diri orang Islam di Wilayah Persekutuan. Jadi dalam konteks ini, kita akan merujuk kepada baginda untuk menentukan isu berkaitan dengan takrifan Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar Program Jelajah Madani Ulama dan Umara (JMUU) Peringkat Negeri Zon Utara Tahun 2024, di sini hari ini.
Menurut beliau, pihaknya terbuka kepada sebarang pandangan dan perbahasan berkaitan RUU berkenaan namun ia perlu berdasarkan kepada fakta dan bukannya emosi.
“Tidak ada salah untuk kita berbahas, berbincang dan memberi pandangan. Cuma seperti yang saya sebut, saya harapkan perbincangan itu didasarkan kepada fakta bukan emosi,” ujar beliau.
Terdahulu, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah baginda tidak berkenan apabila nama Majlis Raja-Raja digunakan dalam usaha menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan).
Perkembangan itu dimaklumkan melalui Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam satu hantaran di Facebook semalam.
RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 antara tiga RUU berkaitan hal ehwal Islam dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Selasa lalu.
RUU itu antaranya memberi takrifan kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) yang sudut akidahnya bersumberkan aliran al-Asyairah dan al-Maturidiah. – UTUSAN






