PETALING JAYA: Kegiatan lapan premis rumah urut yang menawarkan khidmat wanita warga asing sebagai pelacur di sekitar Lembah Klang terbongkar selepas digempur Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) semalam.
Dalam Operasi Khas di lapan lokasi itu, seramai 75 individu terdiri daripada 57 wanita warga asing dipercayai pelacur ditahan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, risikan mendapati pelanggan hadir sendiri ke premis terbabit dan memilih wanita warga asing berdasarkan katalog yang diberikan selain berdasarkan foto di aplikasi Telegram dan WhatsApp.
Katanya, pelanggan yang berminat membuat bayaran secara tunai bermula RM100 hingga RM400 untuk sejam dan diberikan kepada penjaga premis sebelum memasuki bilik.
“Serbuan dijalankan di dua lokasi sekitar Jalan Tun Razak, di sini dan masing-masing satu di sekitar Jalan Pudu, di sini; Kampung Baru Subang, Shah Alam; Pusat Bandar Puchong, Puchong; serta Taman Andalas Jaya, Taman Bayu, dan Klang Central di Klang susulan risikan selama dua minggu berdasarkan maklumat dan aduan awam.
“Seramai 57 wanita ditahan adalah dari Indonesia seramai 32 orang, Bangladesh (11), Vietnam (lapan), dan India (enam) dan tangkapan lelaki warga Bangladesh (tujuh), Myanmar (dua), Indonesia (satu) kesemuanya berusia lingkungan 17 hingga 46 tahun.
“Turut ditahan, tujuh lelaki dan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 23 hingga 65 tahun,” katanya.
Ruslin berkata, semakan mendapati 13 wanita Indonesia dan empat wanita Vietnam memiliki pas perjalanan yang sah manakala dua wanita Indonesia dan seorang wanita Vietnam tinggal lebih masa.
Jelasnya, baki warga asing yang ditahan didapati tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah.
“Kita turut merampas 15 pasport Indonesia, lima pasport Vietnam, wang tunai RM1,750, set komputer dan 10 buku kerja daftar pelanggan.
“Kesemua warga asing ditahan di Depot Imigresen Semenyih kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Paspot 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya.
Tambah beliau, wanita tempatan yang disyaki bekerja sebagai penjaga premis ditahan di bawah Seksyen 56(1)(d) dan Seksyen Akta Imigresen 1959/63.
“Pada masa sama, empat lelaki warga asing, 14 lelaki dan seorang wanita tempatan diberikan notis hadir ke pejabat (JIM) bagi membantu siasatan,” katanya.- UTUSAN






