SEBERANG PERAI: Manifesto KERJA yang diumumkan calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail mampu menjadi kenyataan biarpun peruntukan yang akan diterimanya sebagai wakil rakyat pembangkang jika memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap nanti adalah terhad.
Pesuruhjaya Pas negeri, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, dalam hal ini, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PN sebenarnya tidak pernah berpeluk tubuh, sebaliknya, sentiasa berusaha mencari dana tambahan bagi memastikan penduduk setempat menerima segala bantuan serta insentif yang diperlukan.
“Kita tahu wakil rakyat kerajaan menerima peruntukan sehingga RM300,000 setahun manakala kami wakil rakyat pembangkang hanya dapat peruntukan infrastruktur sebanyak RM60,000.
“Bagaimanapun, itu tidak mematahkan semangat kami untuk membantu dan membawa suara rakyat ke persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.
Muhammad Fauzi yang juga ADUN Sungai Dua berkata demikian dalam sidang akhbar pengumuman ‘Tawaran Buat Rakyat’ oleh PN sempena PRK Sungai Bakap di Bilik Gerakan Nexbyte PN di Taman Halaman Indah, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Muhammad Fauzi berkata, pihaknya percaya dengan keupayaan Abidin yang pernah bertugas lebih 10 bulan sebagai pegawai khas ADUN Sungai Bakap, Allahyarham Nor Zamri Latiff.
“Ada isi manifesto yang sudah dilaksanakan dan kita perincikan semula supaya lebih teratur dan dapat diterima rakyat Sungai Bakap,” katanya.
PRK DUN Sungai Bakap yang diadakan berikutan kematian penyandangnya, Nor Zamri menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Abidin yang juga merupakan Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Nibong Tebal dengan bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara, Dr. Joohari Ariffin.
Terdahulu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Nibong Tebal mewakili PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang diangkat menjadi wakil rakyat selepas menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi. – UTUSAN






