GEORGE TOWN : Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang berjaya menggagalkan satu cubaan membawa masuk ulat sutera tanpa permit import di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), di Bayan Lepas, hari ini.
Jurucakap Maqis berkata, ulat sutera seberat 15 kilogram (kg) itu dijumpai hasil pemeriksaan bagasi yang dijalankan terhadap seorang warga asing dari Vietnam.
“Ulat sutera ini dipercayai dibawa masuk ke dalam negara tanpa kelulusan dan dokumen permit import yang sah.
“Sehubungan itu, barangan ini terpaksa ditahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728),” katanya di sini, hari ini.

Menurut beliau, perbuatan mengimport atau membawa masuk keluaran hasilan pertanian tanpa permit yang sah adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3), akta yang sama.
“Jika sabit kesalahan, mereka yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.-UTUSAN






