NIBONG TEBAL : Aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia pada suku pertama 2024 membuktikan keyakinan pelabur asing akan kestabilan politik yang dikecapi menerusi Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, justeru, beliau optimis ekonomi negara akan bertambah baik walaupun Malaysia mencatatkan kedudukan di tangga ke-34 daripada 67 negara dalam Ranking Daya Saing Global (WCR) 2024.
“Dan kita lihat dari segi FDI, ia telah bertambah pada suku pertama tahun 2024 dan tentunya pelabur-pelabur melihat iaitu nombor satu, dari segi kestabilan politik.
“Yang kedua ialah dari segi kemampuan untuk kelulusan sesuatu permohonan projek, terutamanya untuk mengendalikan kilang-kilang di kawasan-kawasan industry dan yang ketiganya ialah tentang kebolehpercayaan atau keyakinan (pelabur luar) terhadap kerajaan yang ada sekarang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kedudukan Malaysia berada di kedudukan ke-34 daripada 67 negara dalam Ranking Daya Saing Global (WCR) 2024 dan keempat dalam kalangan negara di ASEAN selepas Singapura, Thailand serta Indonesia.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, kementerian berkaitan antaranya Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITi) dan Kementerian Kewangan serta Kementerian Ekonomi sedang berusaha untuk memberi penjelasan berhubung isu terbabit.
“Penjelasan lanjut mengenainya akan diberikan apabila misi dagangan dilakukan dalam lawatan-lawatan rasmi yang dijalankan oleh menteri, menteri MITI, menteri ekonomi serta menteri-menteri yang berkaitan dengan soal ekonomi.
“Ia termasuklah misi dagangan yang dibuat oleh ketua-ketua menteri dan juga menteri-menteri besar dan saya yakin ianya akan bertambah lebih baik selepas ini,” katanya.-UTUSAN






