NIBONG TEBAL : Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bertekad membantu membawa pembangunan ke Sungai Bakap andai calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin, diberi mandat menjadi wakil rakyat pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan itu, Sabtu ini.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, antara pembangunan itu ialah menubuhkan sebuah Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di Sungai Bakap manakala pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) pula akan diteruskan pembinaannya.
“PAWE perlu dibawa segera ke Sungai Bakap supaya warga emas boleh dibantu. Kedua, sekolah Tamil yang terbengkalai. Saya nak cadangkan dan bisik dekat Fadhlina (Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek) agar cadangan ini harap dapat direalisasikan dan permintaan kaum India di Sungai Bakap juga dapat dilaksanakan sekiranya Cikgu Jo jadi wakil rakyat.
“Dua cadangan ini cukup penting dan saya berpandangan bahawa ia harus dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Malam Kasih Bersama Pemimpin di Sungai Kechil, di sini malam tadi.
Hadir sama, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta calon Pakatan Harapan (PH) iaitu Joohari sendiri.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, UMNO dan BN tidak hanya memobilisasikan jentera dari Pulau Pinang sebaliknya jentera negeri lain turut digerakkan bagi memastikan kemenangan berpihak kepada Joohari.

“Apapun, kita harap apabila (Joohari) duduk di atas nanti, jangan lupa orang di bawah yang dah banyak beri sokongan, tolong dan bantu penuhi keperluan mereka.
“Kalau buat kerja tak betul, satu penggal saja lah dia (Joohari) jadi wakil rakyat. Tapi, saya yakin kelebihan Cikgu Jo sebagai anak tempatan, beliau akan memberikan prestasi dan kerja terbaik untuk berkhidmat buat rakyat Sungai Bakap,” katanya.
PRK Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara iaitu Joohari dan bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Nibong Tebal, Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).
Ia diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.
Terdahulu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Nibong Tebal menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi kerusi tersebut tahun lepas.-UTUSAN






