KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memberi jaminan untuk terus beri kerjasama penuh kepada Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) dan semua pasukan keselamatan dalam mengekang ancaman pencerobohan anasir asing dan militan, pendatang asing tanpa izin (PATI) serta jenayah rentas sempadan khususnya di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone).
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri amat komited memastikan keselamatan di sempadan maritim meliputi kawasan gugusan kepulauan, pesisiran dan sungai serta sempadan daratan khususnya di ESSZone dalam keadaan baik dan terkawal.
Beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) amnya dan ESSCOM khasnya terus giat mengadakan operasi-operasi bagi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara daripada dibolosi pihak tidak bertanggungjawab yang menganggu gugat ketenteraman negeri Sabah.
“Sejajar dengan pemerkasaan hala tuju Sabah Maju Jaya, saya amat menyokong inisiatif-inisiatif penambahbaikan infrastruktur, aset, sumber manusia dan keperluan agensi keselamatan, penguatkuasaan dan pertahanan bagi memastikan tahap kebolehoperasian dan kesiapsiagaan berada pada tahap tertinggi,” katanya semasa Mesyuarat Jawatankuasa Bersama ESSZone, semalam.
Mesyuarat itu dipengerusikan bersama oleh Ketua Menteri dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Menurut Hajiji, kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan Persekutuan melalui KDN amat diperlukan bagi memastikan perancangan pembangunan ekonomi Sabah dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Kata beliau, keluasan maritim yang besar di Sabah merupakan penyumbang kepada penjanaan kemakmuran ekonomi Malaysia sebagai sebuah wilayah perairan yang tidak lepas daripada ancaman keselamatan serta aktiviti jenayah merentasi sempadan.
“Oleh itu, penyelarasan yang jitu antara kerajaan negeri dengan KDN melalui semua agensi dibawahnya seperti ESSCOM akan sentiasa digembleng bagi memelihara kedaulatan, mencegah dan membanteras ancaman keselamatan daripada terus berlaku pada masa hadapan,” katanya.
Hajiji berharap melalui Mesyuarat Jawatankuasa Bersama itu dapat mencapai muafakat dalam meningkatkan lagi pelaksanaan operasi keselamatan dan program mensejahterakan rakyat, seterusnya meningkatkan keyakinan masyarakat di wilayah ini.
Hadir sama adalah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ruji Ubi, Peguam Besar Negeri, Datuk Brenndon Soh dan Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Jabatan Ketua Menteri, Datuk Ag. Shahminan Ag. Sahari. – UTUSAN






