GEORGE TOWN : Seramai 25 pelabur tampil membuat laporan polis di Balai Polis Bayan Lepas hari ini kerana mendakwa ditipu oleh sebuah syarikat yang menawarkan skim pelaburan tidak wujud sehingga menyebabkan mereka mengalami kerugian sehingga RM5 juta.
Selain 25 pelabur berkenaan, terdapat 25 lagi pelabur di negeri ini yang didakwa turut menjadi mangsa penipuan syarikat berkenaan dan di Pulau Pinang sahaja, jumlah kerugian yang terpaksa ditanggung oleh pelabur tersebut dianggarkan mencecah RM10 juta.
Difahamkan, secara keseluruhannya iaitu antara tahun 2018 hingga 2020, terdapat kira-kira 90 pelabur di seluruh negara antaranya di Kuala Lumpur dan Johor yang menjadi mangsa penipuan syarikat pelaburan tersebut dengan nilai kerugian dianggarkan sehingga RM20 juta.
Salah seorang mangsa yang merupakan seorang peniaga, Ruzianzan Ibrahim, 40, berkata, dia terjebak dengan syarikat pelaburan itu selepas rakannya mengajak dia mengikuti ceramah pelaburan yang dianjurkan syarikat tersebut pada 2018.
“Saya mulakan pelaburan dengan nilai RM10,000. Saya rasa pelaburan ini boleh dipercayai selepas dalam tempoh enam bulan, saya dapat pulangan sebanyak RM1,000 untuk setiap bulan sebulan.
Saya kemudiannya menambah pelaburan menjadi RM30,000 namun tidak lama kemudian saya sudah tidak dapat apa-apa pulangan daripada syarikat ini dan secara keseluruhannya, sebanyak RM40,000 wang saya hangus.
“Hari ini saya tampil membuat laporan polis kerana mahu pihak polis menyiasat mereka yang terlibat dalam penipuan ini,” katanya dalam sidang akhbar di pekarangan Balai Polis Bayan Lepas, di sini hari ini.
Seorang lagi pelabur, Shahrija Nagore, 53, berkata, duit pusaka arwah suaminya bernilai RM45,000 lesap selepas dia diajak menyertai pelaburan tersebut oleh kontraktor yang menjalankan proses ubah suai rumahnya.
“Saya melabur bermula pada tahun 2018 hingga 2020, namun, satu sen pulangan wang pelaburan pun saya tidak dapat. Apabila saya tanya kepada syarikat pelaburan ini, mereka kata, adakah dunia nak kiamat kalau saya tidak dapat semula duit saya?
“Saya hanya mahukan keadilan kepada semua pelabur dan mereka yang terlibat menipu kami menerusi syarikat pelaburan ini menerima hukuman,” katanya yang juga seorang peniaga dan suri rumah.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, sebelum ini, pengarah dan pegawai pemasaran syarikat tersebut telah didakwa di mahkamah pada 2021.

Bagaimanapun katanya, kedua-duanya telah dibebas tanpa dilepaskan oleh mahkamah kerana ada pengadu yang telah menarik balik laporan kes berkenaan.
“Kita bimbang sekiranya trend menarik balik laporan polis berkaitan kes ini terus berlaku, ia akan sebabkan kes terhadap pengarah dan pegawai pemasaran syarikat Iitu digugurkan dan dalang kes ini menjadi orang bebas,” katanya yang memberitahu, selepas ini, ada lagi pengadu di Kuala Lumpur dan Johor akan membuat laporan polis berkaitan kes yang sama.-UTUSAN





