PETALING JAYA: Pemahaman dan penghayatan aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ), al-Asyairah dan al-Maturidiah yang terkandung dalam Rang Undang-undang (RUU) Mufti Wilayah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) akan melahirkan umat Islam yang sederhana dan tidak ekstrem dalam pandangan mereka.
Dalam masa sama, masyarakat bukan Islam juga akan mendapat manfaat apabila isu ketegangan beragama tidak lagi timbul kerana aliran ini amat terkenal dengan kesederhanaannya.
Pensyarah Kanan Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Ahmad Arif Zulkefli berkata, negara akan lebih tenteram dengan tidak memaksa masyarakat bukan Islam untuk memeluk Islam serta membenarkan orang ramai bebas mengamalkan agama dan kepercayaan masing-masing.
“Berbeza dengan sebahagian golongan radikal yang menjadikan masyarakat bukan Islam dan rumah ibadat mereka sebagai sasaran untuk dibunuh dan diletupkan, seperti yang berlaku dalam beberapa siri pengeboman di Mesir, Indonesia dan lain-lain.
“Dalam masa yang sama, ia dapat mencegah penglibatan masyarakat terhadap ekstremisme dan radikalisme,” katanya ketika dihubungi oleh Nexbyte.
Ahmad Arif berkata, dengan kefahaman yang benar terhadap aliran ini, kerajaan akan dapat menangkis ekstremisme seperti yang berlaku di Ulu Tiram, Johor, di mana terdapat kes sanggup membunuh sesama muslim.
“Aliran ini mampu melindungi para penganutnya dari terjebak dengan fahaman yang sesat dan menyeleweng seperti golongan literalis, Muktazillah dan Syiah Rawafidh,” katanya.
Nexbyte sebelum ini melaporkan, RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 mesti diberi sokongan sepenuhnya oleh semua umat Islam khususnya rakyat Malaysia bagi memelihara institusi raja-raja dan mengekang elemen radikalisme dalam negara.
Mufti Pahang, Prof. Datuk Dr. Asmadi Mohamed Naim berkata, RUU Mufti mengandungi perkara yang mentakrifkan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari sudut akidah bersumberkan aliran Al-Asyairah, Al-Maturidiah dan fiqh Mazhab Syafie dengan meraikan tiga mazhab lain.
Menurut Ahmad Arif, ASWJ juga adalah satu jenama yang sering menjadi rebutan banyak pihak.
“Untuk mengelakkan kekeliruan, perlu ditentukan siapakah sebenarnya Ahli Sunnah Wal Jamaah mengikut kefahaman majoriti ulama,” katanya. – UTUSAN






