KUALA LUMPUR: Kerajaan sudah mengenal pasti lokasi mesyuarat di beberapa negeri termasuk Sabah, Sarawak, Melaka dan Pulau Pinang sempena Sidang Kemuncak ASEAN 2025.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, program dan mesyuarat sidang kemuncak berkenaan tidak hanya tertumpu di ibu negara.
“Yang pentingnya logistik ini perlu dilihat dari sekarang, untuk kita pastikan kedatangan tetamu kita yang ramai dari seluruh dunia.
“Ini adalah satu penghormatan kepada Malaysia yang akan menjadi pengerusi tahun hadapan dan pelbagai atur cara kita siapkan,” katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) berhubung persediaan kerajaan menjadi Pengerusi ASEAN pada 2025 dan perkara utama yang ingin dicapai dalam tempoh Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN.
Kata Mohamad, Malaysia menetapkan tiga tonggak utama iaitu keselamatan dan politik, ekonomi dan sosiobudaya.
Katanya, Kementerian Luar adalah peneraju kepada politik dan keselamatan serta berjaya mengumpulkan sebanyak 257 mesyuarat peringkat tertinggi, peringkat menteri dan pegawai-pegawai yang akan diadakan pada 2025.
Menurutnya, pelbagai persiapan sudah dimulakan antaranya penubuhan Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan (JPK) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri untuk merancang, menyelaras, melaksana dan memantau persiapan substantif dan logistik bagi kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada 2025.
Jelasnya, JPK itu disokong oleh Majlis Menteri-Menteri dan dibantu oleh Jawatankuasa Pegawai-Pegawai Kanan dari Kementerian-Kementerian yang akan menjadi tuan rumah kepada mesyuarat ASEAN di bawah seliaan masing-masing.
“Selain itu Sekretariat Induk Logistik ASEAN 2025 (SILA) turut ditubuhkan bagi menyelaras persiapan logistik bagi persidangan-persidangan utama dan mesyuarat-mesyuarat di bawah seliaan Kementerian Luar Negeri,” katanya.
Pada 31 Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya Malaysia sebagai Pengerusi Sidang Kemuncak ASEAN 2025 memanfaatkan pelbagai tempat di seluruh negara.- UTUSAN






