PETALING JAYA: Keterangan beberapa individu akan diambil selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenal pasti mereka bagi membantu siasatan berhubung penelitian dokumen berkaitan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN 2/2024) terhadap Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp).
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, pasukan penyiasat dijangka ke Kementerian Sumber Manusia dan HRDC Corp bagi mendapatkan dokumen-dokumen berkaitan pada Selasa ini.
“Kita telah terima laporan audit yang dikemukakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (Kesuma).
“Berasaskan laporan audit tersebut, kita telah mengenal pasti beberapa isu yang memerlukan dokumen dan keterangan daripada pihak yang terlibat,” katanya di sini.
Beliau berkata, siasatan melihat kepada isu pelaburan, pengurusan dana dan latihan, pembelian harta serta lain-lain.
“Oleh itu, satu pasukan khas telah dibentuk dan beberapa kertas siasatan dibuka. Siasatan dijalankan di bawah Akta SPRM 2009 dan kesalahan di bawah Seksyen 18 dan 23 Akta ASPRM 2009,” katanya.
SPRM semalam mengesahkan telah menerima beberapa dokumen yang berkaitan LKAN 2/2024 terhadap HRD Corp telah diterima pihaknya.
Dokumen-dokumen tersebut diserahkan kepada SPRM oleh Ketua Setiausaha Kesuma, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud pada pukul 11:30 pagi.
Selain daripada kesalahan jenayah, SPRM juga akan meneliti isu-isu kelemahan tatakelola yang dibangkitkan dalam LKAN 2/2024.
Media melaporkan, Pengurusan dana RM41.970 bilion melibatkan 11 kementerian dikesan mempunyai banyak kelemahan dalam melaksanakan pelbagai program, projek dan aktiviti kerajaan.
la didedahkan dalam LKAN 2/2024 menerusi sembilan pengauditan meliputi projek-projek yang telah dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) sehingga Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12)
Kelemahan dalam pelaksanaan projek kerajaan berpunca daripada pelbagai faktor seperti kurang pemantauan oleh pihak berkaitan, ketiadaan penyelarasan antara agensi berkenaan, ketiadaan pangkalan data yang lengkap dan kelemahan dalam polisi prosedur kerja.
Kelemahan itu menyebabkan program tidak dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan, kualiti kerja tidak memuaskan, kos meningkat dan kerajaan tidak mendapat nilai faedah wang yang dibelanjakan. – UTUSAN





