KUALA LUMPUR: Golongan muda muda terutama pelajar sekolah dinasihatkan tidak terpengaruh dengan media sosial yang mengetengahkan bahasa rojak kerana ia merosakkan bahasa Melayu.
Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr. Anwar Ridhwan berkata, penggunaan bahasa Melayu yang betul bukan sahaja perlu digunakan di peringkat sekolah, tetapi dalam kehidupan seharian.
“Jangan terpengaruh dengan media sosial yang mengetengahkan bahasa campur atau bahasa rojak ini kerana ia merosakkan bahasa Melayu.
“Para pelajar digalak baca buku yang baik, artikel, makalah yang diterbitkan di majalah dan buku.
“Ini cara paling bagus untuk menguasai bahasa Melayu dan mengungkapkan bahasa bahasa Melayu dalam kehidupan,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Forum Remaja Peringkat Kebangsaan 2024 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, di sini, hari ini.
Pertandingan Forum Remaja Peringkat Kebangsaan 2024 yang berlangsung dua hari bermula semalam itu disertai seramai 16 pasukan termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Tempat pertama dimenangi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baru Bintulu, Sarawak dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM2,500 serta piala kemenangan.
Terdahulu, Dr. Anwar dalam ucapannya menekankan keperluan golongan muda yang bakal mewarisi kepemimpinan negara supaya mempunyai sifat ‘megah bahasa’ terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa ilmu dan bahasa penyatuan.
“Hal ini amat penting disebabkan jika elemen bahasa kebangsaan yang menjadi ‘tiang seri’ bagi negara kita musnah, maka usaha kita untuk bersama-sama membina Malaysia sebagai negara bangsa yang progresif akan menemukan kegagalan,” katanya. – UTUSAN






