PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menarik balik rayuannya berhubung permohonannya untuk menyingkirkan hakim yang mendengar kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapinya.
Perkara itu dimaklumkan oleh peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah terhadap panel tiga hakim Mahkamah Rayuan di sini hari ini.
Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azman Abdullah sepatutnya mendengar rayuan itu hari ini.
“Permohonan untuk hakim (Datuk Collin Lawrence Sequerah) menarik diri difailkan pada Ogos tahun lalu. Permohonan telah didengar serta diputuskan dan bicara telah diteruskan. Jasmine Loo juga telah memberi keterangan selama 10 hari. Banyak perkara telah berlaku sepanjang tempoh itu sehingga hari ini,” ujar Muhammad Shafee.
Menurut peguam itu, pihaknya akan menjadikan isu (konflik kepentingan) sebagai alasan rayuan sekiranya mereka perlu merayu dalam kes itu pada masa hadapan.
Tambahnya, jika mereka perlu merayu kelak, isu berkait hakim bicara, Datuk Collin Lawrence Sequerah dan bekas peguam 1MDB, Jasmin Loo Ai Swan akan memberi kelebihan kepada mereka terutama sekiranya keterangan wanita itu diambil kira.
Selain itu, Muhammad Shafee menyatakan, sekiranya rayuan itu didengar hari ini, mereka terpaksa menghadapi kemungkinan berhadapan dengan prinsip estoppel (tidak boleh merayu atas isu sama).
Pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar tidak membantah terhadap permohonan menarik balik rayuan tersebut.
Pada 18 Ogos 2023, hakim bicara 1MDB, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menolak permohonan Najib agar beliau menarik diri daripada terus mengendalikan kes itu atas alasan tidak akan timbul konflik kepentingan mahupun mewujudkan situasi tidak adil atau berat sebelah terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan itu.
Permohonan tersebut dibuat Najib selepas 167 hari perbicaraan kes itu dijalankan dan dua minggu selepas Hakim Sequerah mendedahkan bahawa beliau pernah bekerja di firma guaman yang sama dengan Ai Swan.
Ai Swan dikatakan salah seorang sekutu rapat ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low yang turut terbabit dalam skandal kewangan 1MDB dan disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki.
Hakim itu turut menjelaskan beliau tidak lagi berkomunikasi dengan Ai Swan sejak 15 tahun lalu selepas wanita itu meninggalkan firma guaman Tetuan Zain & Co. pada 31 Disember 2008 manakala Hakim Sequerah terus berkhidmat firma berkenaan sehingga beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 20 Jun 2014.
Ai Swan yang pernah melarikan diri apabila skandal penyelewengan dana 1MDB tercetus dipanggil menjadi saksi pendakwaan ke-51 pada 13 Februari lalu.
Pada ketika ini, Hakim Sequerah sedang mendengar hujah di akhir kes pendakwaan selepas pendakwaan menutup kes mereka pada 30 Mei lalu. – UTUSAN





