KUALA TERENGGANU: Sebanyak 4,300 kekosongan jawatan ditawarkan dalam Karnival Kerjaya MyFutureJobs ‘Tiada Yang Terpinggir’ negeri Terengganu 2024 di Kuala Terengganu City Centre di sini, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, sebanyak 65 majikan menyertai karnival selama dua hari berakhir esok.
Menurutnya, program itu merupakan anjuran bersama kerajaan negeri dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu untuk memberi peluang kepada rakyat mencari pekerjaan yang sesuai dengan kemahiran dan kelayakan yang dimiliki.
“Alhamdulillah, sambutan yang diterima amat memberangsangkan kerana dalam tempoh tiga jam sahaja, karnival ini telah dikunjungi lebih 700 pengunjung untuk sesi pagi hingga tengah hari.
“Daripada jumlah itu, 73 pengunjung telah berjaya mendapat pekerjaan yang sesuai dengan mereka manakala 268 pengunjung lagi layak untuk menghadiri temuduga yang seterusnya.
“Kerajaan negeri optimis lebih ramai pengunjung yang akan memiliki pekerjaan yang mereka idamkan selama karnival ini berlangsung hingga petang esok,” katanya ketika ditemui selepas melakukan sesi walkabout di karnival itu, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, antara kekosongan jawatan terbesar yang ditawarkan ialah dalam sektor pembuatan iaitu 762 kekosongan, pentadbiran awam dan pertahanan (700), pengangkutan dan penyimpanan (500), perdagangan borong dan runcit (419) serta kewangan, insurans dan takaful (310).
Tambahnya, pihaknya menyasarkan kedatangan lebih 5,000 pengunjung dan mengalu-alukan pencari kerja untuk datang dengan membawa dokumen yang lengkap untuk memudahkan proses temuduga dengan majikan. – UTUSAN






