MELAKA: Seramai 51 pelajar Kolej Profesional Mara (KPM) Ayer Molek, Tiang Dua, dekat sini mengalami keracunan makanan sejak Khamis lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, kejadian dipercayai berlaku selepas pelajar berkenaan menikmati makanan di tujuh buah kafe di institusi berkenaan.
Bagaimanapun katanya, hanya seorang daripada semua mangsa itu dimasukkan ke sebuah hospital swasta oleh bapanya.
Menurutnya, sebanyak 50 penuntut lain pula dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Jasin dan Klinik Kesihatan Ayer Molek di sini.
“Pelajar terbabit mengalami gejala keracunan makanan sejak Khamis dan situasi itu berterusan sehingga Jumaat hingga menyebabkan penguat kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke KPM untuk membuat pemeriksaan serta siasatan lanjut.
“Rata-rata pelajar mengadu sakit perut, muntah, cirit-birit serta demam dan KPM membawa semua pelajar terbabit ke Hospital Jasin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Difahamkan, antara menu yang dijual di kafe terlibat adalah nasi campur, nasi ayam dan pelbagai jenis makanan barat termasuk carbonara serta spageti.
Beliau berkata, kesemua kafe yang terdapat di kolej itu diarahkan ditutup serta-merta selama dua minggu bermula pukul 6.30 petang semalam.
“Setakat ini tiada punca spesifik yang dikenal pasti. Semua pelajar mendakwa mereka makan pelbagai jenis menu daripada kesemua kafe yang beroperasi pada hari kejadian, ” ujarnya.
Tegasnya, KKM terpaksa mengambil keputusan menutup operasi kesemua kafe terbabit bagi tujuan pembersihan atau sanitasi.
Beliau berkata, pihak kolej akan membawa vendor luar untuk keperluan makan dan minum pelajar yang berada di asrama tersebut yang dianggarkan seramai 390 orang yang menyertai program Advance Creative Entrepreneurship Challenge (ACE) yang berlangsung sehingga esok. – UTUSAN




