IPOH: Pembelajaran seramai 70 murid dan pelajar empat buah sekolah di Slim River terjejas kerana terputus hubungan untuk ke sekolah akibat kejadian kepala air baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah, kesemua mereka terputus hubungan untuk ke sekolah akibat kemusnahan jambatan penghubung kerana hentaman kepala air.
Namun katanya, pihak pendidikan negeri dan daerah akan memastikan semua mereka dapat meneruskan pembelajaran termasuk dengan kaedah menumpang belajar di sekolah berdekatan yang tidak terjejas.
“Ada inisiatif murid yang terjejas untuk belajar sementara di sekolah lain supaya mereka boleh belajar secara bersemuka.
“Kita tidak mahu sistem Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sebab kita tahu PdPR mungkin ada masalah dari segi liputan rangkaian,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar di sini hari ini bagi menguar-uarkan penganjuran Karnival Mesra Anak Muda 2024 (KAMU 2024) yang akan berlangsung dari 6 hingga 8 September ini di Stadium Indera Mulia Ipoh.
Kejadian kepala air di Slim River pada 23 Ogos lalu disifatkan bencana terburuk pernah berlaku dialami mangsa banjir yang telah menetap dalam tempoh lebih 20 tahun di situ.
Pada masa sama, Khairudin menegaskan ketiadaan uniform bukan alasan tidak pergi ke sekolah kerana Kementerian Pendidikan telah menggariskan bahawa murid dan pelajar masih boleh hadir dengan berpakaian sukan yang sesuai.
“Saya faham ada kalangan keluarga yang terjejas dari segi rumah dan kelengkapan. Pihak Pejabat Pendidikan Daerah Muallim telah mengambil tindakan yang sewajarnya seperti membuat kutipan dan sebagainya jika ada isu tak pergi sekolah kerana tiada pakaian.
“Kita beri kebebasan beberapa hari untuk pakai pakaian sukan, janji hadir ke sekolah dan belajar sebaik mungkin,” katanya.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad semalam berkata, kerajaan negeri akan memohon ihsan Kerajaan Pusat bagi peruntukan membaik pulih infrastruktur khususnya jambatan yang musnah akibat tragedi tersebut. – UTUSAN






