PASIR MAS: Emosi tiga anak Allahyarhamah Istiqomah Ahmad Rozi, 33, dilihat masih belum stabil apabila sering termenung dan menangis kerana merindui ibunya.
Yusof Mokhtar, 35, berkata, anak kedua berusia empat tahun daripada tiga beradik itu dilihat paling terkesan dengan pemergian Istiqomah.
“Anak kedua saya memang rapat dengan arwah dan mereka selalu berpelukan. Alhamdulillah, emosi anak sulung dan bongsu agak stabil sikit,” katanya ketika ditemui pemberita selepas dikunjungi Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di Kampung Kubang Badak di sini, semalam..
Istiqomah meninggalkan tiga orang anak, iaitu Naura Auni, 9, Naufal Amzar, 6, dan Nayla Aisya, 4.
Yusof memberitahu, dia akan membawa ketiga-tiga anaknya pulang ke Johor selepas semua urusan arwah isterinya selesai dan kakaknya akan menjaga mereka.
Terdahulu, jenazah Istiqomah jenazah Istiqomah selamat dikebumikan pada pukul 11.50 malam di Tanah Perkuburan Islam Bandar Pasir Mas.
Kehilangan Istiqomah sejak Disember tahun lalu terjawab selepas mayat wanita yang dibunuh kejam dan disumbatkan ke dalam tong sampah sebelum dibuang ke dalam longkang di kawasan Kampung Rimau, Pulau Sebang, Melaka, disahkan sebagai guru tersebut.
Sementara itu, Kementerian Pendidikan menawarkan khidmat kaunseling secara berterusan kepada anak dan keluarga Istiqomah selain kebajikan mereka juga akan diberi perhatian.
Fadhlina turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Istiqomah yang disifatkan sebagai seorang guru komited dalam menjalankan tugas.
“Sesungguhnya kejadian ini memberi kesan kepada semua, pemergiannya sangat menyayat hati,” ujarnya. – UTUSAN






