PETALING JAYA: Lima pusat pelacuran dan dua pusat hiburan di ibu negara diarah tutup selain dirobohkan serta-merta semalam.
Tindakan itu dilakukan menerusi Operasi Tindakan Khas (Operasi Pusat Pelacuran dan Pusat Hiburan) bersama Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar (JKAS) di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
DBKL dalam kenyataan berkata, pihaknya turut meroboh struktur dalaman membabitkan pusat pelacuran yang didirikan tanpa kelulusan selain menyita barangan perniagaan.
“DBKL mengeluarkan enam notis kompaun di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 dan UUK Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016.
“Kita turut mengeluarkan lima notis penguatkuasaan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 serta tiga notis pemberitahuan tentang kesalahan di bawah Akta Hiburan (WPKL) 1992,” kata dalam kenyataan di media sosial.
Semua barangan yang disita dibawa ke Setor Sitaan Jalan Lombong di Taman Miharja Cheras, di sini untuk tindakan rekod dan dokumentasi.- UTUSAN





