KANGAR: Kesukaran mendapatkan bekalan beras tempatan di pasaran yang sudah berlarutan hampir dua tahun, terus menimbulkan persoalan di sebalik kebanyakan kilang termasuk kilang-kilang bumiputera kecil yang membeli padi daripada pesawah dengan harga yang tinggi.
Soal pengilang, dengan harga belian padi antara RM1,800 hingga RM2,000 per tan metrik ketika ini, agak mustahil masih berlaku masalah ketiadaan beras tempatan berharga RM26 bagi berat 10 kilogram itu.
Hal demikian kerana, sejumlah syarikat besar atau taikun beras yang menguasai pasaran ini didakwa terus memanipulasi proses pembungkusan yang menyaksikan beras tempatan ‘bertukar’ menjadi beras import seterusnya dijual dengan harga mahal.
Pengerusi Gabungan Pengilang-Pengilang Beras Malaysia, Marzukhi Othman berkata, kebanyakan pengilang telah membeli padi dengan harga yang tinggi meskipun terpaksa menanggung kerugian namun yang menjadi persoalan mengapa bekalan beras tempatan masih sukar diperoleh di pasaran.
Katanya, pengguna terus ditipu dengan label beras import sahaja di pasaran dan terpaksa membayar dengan harga yang lebih tinggi.
Justeru katanya, kerajaan perlu menyelaraskan harga beras pada satu gred sahaja selain segera mengumumkan kenaikan harga siling beras putih tempatan (BPT) bagi mengelak masalah berkenaan terus berlarutan.
“Dekat dua tahun isu ketiadaan dan kesukaran mendapatkan bekalan beras tempatan berharga RM26 di pasaran ketika ini. Kebanyakan pengilang sudah membeli padi dengan harga yang tinggi, namun terus menjadi persoalan kenapa masih berlaku masalah ketiadaan bekalan ini.
“Pengilang-pengilang kecil ini terpaksa juga mengikut rentak syarikat atau kilang-kilang besar ini membeli padi dengan harga yang lebih tinggi walaupun menanggung kerugian, namun isu ketiadaan bekalan masih berlaku.
“Kerajaan perlu menyeragamkan harga beras tempatan dan import itu, kalau tidak kenaikan harga padi akan jadi sia-sia sekiranya beras tempatan masih ‘hilang’ di pasaran,” katanya kepada Nexbyte di sini semalam.
Tambah Marzukhi, isu ketiadaan beras tempatan di pasaran sepatutnya tidak berlaku memandangkan pengeluaran beras negara ketika ini sebanyak 1.6 juta tan metrik setahun berbanding import 1.1 juta tan metrik.
Katanya, bagi menampung keperluan 3.5 juta rakyat Malaysia, sebanyak 2.8 juta tan metrik makanan ruji tersebut diperlukan setahun.
Dalam pada itu, Marzukhi berkata, penetapan kenaikan harga siling beras putih tempatan perlu dibuat segera iaitu sebelum pesawah menuai hasil musim ini.
Katanya, pesawah akan mula menuai hasil pada pertengahan Ogos sehingga Oktober ini dan kenaikan tersebut bakal memberi keadilan kepada pengilang serta pesawah sendiri.
“Ia juga penting bagi memartabatkan industri beras negara selain mengekang kartel-kartel terus menguasai pasaran beras negara,” katanya.
Katanya lagi, harga siling baharu beras tempatan yang ideal dicadangkan ditetapkan oleh kerajaan itu ialah sekitar RM36 ke RM37 bagi berat 10 kilogram selain menyeragamkan harga berkenaan dengan beras import.
Ujarnya, jika tidak diseragamkan harga, dikhuatiri isu ketiadaan bekalan beras tempatan di pasaran akan terus berulang selain tidak berupaya menyelesaikan masalah manipulasi menukarkan gred beras tempatan kepada import oleh pihak tidak bertanggungjawab itu.
“Kenaikan itu bagi menyelesaikan isu penipuan gred beras ini kerana apa yang berlaku ketika ini disebabkan penipuan yang berlaku disebabkan pihak-pihak tidak bertanggungjawab,” katanya. – UTUSAN






