ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri berharap Hospital Pasir Gudang yang menelan kos pembinaan RM375.7 juta dijangka beroperasi lebih awal iaitu pada Februari tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, ini susulan kemajuan pembinaan hospital tersebut awal 60 hari daripada jadual ditetapkan.
Katanya, berdasarkan perkembangan semasa, hospital yang dibangunkan di kawasan berkeluasan 20.6 hektar itu dijangka siap dibina sepenuhnya pada hujung tahun ini.
“Mudah-mudahan hujung tahun kita boleh selesai dari segi pembinaan dan kalau selesai kita boleh siap dan serah kepada Kementerian Kesihatan (KKM).
“Saya dimaklumkan mungkin dalam Februari tahun depan, kita akan dapat beroperasi berperingkat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Malaysia Trauma Life Support (MTLS) yang julung kali diadakan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kecemasan dan trauma di Hotel Millesime di sini.
Hospital Pasir Gudang dibangunkan di Bandar Seri Alam, Masai bakal dilengkapi 304 katil, 14 perkhidmatan pakar, lapan bilik pembedahan, 65 bilik konsultasi rawatan pesakit luar, rumah mayat, farmasi pandu lalu dan lebih 1,000 ruang letak kenderaan.
Ia terletak 19 kilometer (km) dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan 12 km dari Hospital Sultan Ismail (HSI) dapat meningkatkan kapasiti bagi mengurangkan kesesakan pesakit di kedua-dua hospital kerajaan itu.
Mengulas lanjut, Tian Soon memberitahu, Johor berdepan dengan masalah kekurangan petugas kesihatan setelah jumlah yang ada ketika ini adalah seramai 1,454 di seluruh negeri berbanding 1,532 perjawatan yang sepatutnya diisi.
“Kita masih lagi berhadapan kekurangan petugas atau staf kesihatan. Saya fikir kita kurang hampir 100 orang, itu ikut perjawatan sahaja belum kira dari segi keperluan lain.
“Diharapkan dengan pelaksanaan pelbagai kursus termasuk program MTLS oleh Persatuan Kecemasan Trauma Johor dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) ini dapat membantu petugas sedia ada,” katanya. – UTUSAN






