MARANG: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mahu keluarga dan mangsa sebarang perlakuan jenayah seksual atau isu-isu disiplin yang lain agar segera melaporkannya kepada pihak berkuasa supaya pelaku menerima hukuman setimpal.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, kementerian sangat serius dalam membasmi perlakuan seumpama itu dan mengambil pelbagai langkah yang sesuai untuk menanganinya.
“Saya ingin tegaskan lagi sekali bahawa kita di kementerian sangat memandang serius isu-isu melibatkan gangguan seksual yang berlaku di sekolah.
“Penegasan ini memang kita mulakan sebaik sahaja Kerajaan Madani ambil alih (pemerintahan) dengan mengeluarkan dan mengukuhkan lagi Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Seksual di Institusi Pendidikan di bawah KPM.
“Tindakan tata tertib juga diambil walaupun sekiranya kita dapati warga KPM yang melakukan, ‘you touch, you go’ dan yang penting ialah keluarga untuk tampil membuat laporan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai kes rogol yang berlaku terhadap seorang pelajar perempuan di Besut pada Februari lalu dan hanya melaporkannya kepada polis, baru-baru ini.
Terdahulu, Fadhlina ditemui pemberita selepas merasmikan bangunan baharu Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Marang, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, ditanya mengenai isu penggunaan cecair rokok elektronik (vape) pula, Fadhlina berkata, masalah yang berlaku di dalam kawasan sekolah masih dalam keadaan yang terkawal.
Bagaimanapun, tambahnya, aktiviti jual beli vape yang berlaku di luar kawasan sekolah masih memerlukan kerjasama rapat daripada ibu bapa dan komuniti setempat untuk memantaunya.
“Di sekolah, tindakan tata tertib akan diambil oleh pihak pengurusan berdasarkan kepada garis panduan sedia ada.
“Namun, sering saya ingatkan agar ibu bapa dan masyarakat turut memainkan peranan mereka dalam membantu mencegah perkara ini,” katana. – UTUSAN






