KUALA SELANGOR: Kenaikan gaji kakitangan awam terutama Universiti Teknologi Mara (UiTM) bakal melibatkan peningkatan emolumen yang besar sebagai sebuah universiti awam apabila dasar tersebut dilaksanakan.
Ini kerana universiti dengan 34 cawangan di seluruh negara itu mempunyai kira-kira 19,000 kakitangan yang mana jumlah golongan profesional atau pegawai termasuk skim pensyarah adalah lebih ramai berbanding kumpulan sokongan.
Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata, pihaknya sudah pun mengemukakan model kewangan susulan kenaikan gaji tersebut dan mengakui melibatkan peningkatan angka yang besar namun memaklumkan tidak boleh mendedahkan nilainya.
“Sebagai universiti, buat masa ini saya tidak boleh dedahkan, tetapi saya boleh cakap secara ringkasnya kita mempunyai 19,000 kakitangan, kalau dalam universiti awam kita ambil mudah kali 10, memang satu jumlah yang besar.
“Peratusan kenaikan adalah sama seperti ditetapkan oleh kerajaan dan UiTM menyediakan model kewangannya bagi memastikan tindakan itu dapat dilaksanakan,” katanya kepada pemberita pada majlis tandatangan perjanjian persefahaman (MOU) antara universiti itu dengan Yayasan Prihatin Nasional (Prihatin).
Jelasnya, peningkatan tersebut turut melibatkan kakitangan kontrak dan swasta di universiti berkenaan, namun bergantung kepada pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada universiti itu.
“Dalam amalan kami seperti mana kerajaan memberi insentif RM2,000 pada Hari Raya Aidilfitri tempoh hari, bergantung kepada pekeliling yang dikeluarkan oleh JPA sama ada kontrak mereka layak atau tidak, kalau layak maknanya kita akan beri juga.
“Cuma seperti saya cakap tadilah, skala UiTM adalah besar, macam insentif RM2,000 itu melibatkan implikasi kewangan sekitar RM36 juta ditambah pula dengan kakitangan kontrak jadi hampir RM40 juta, itu secara one-off,” ujarnya.
Dalam pada itu, Shahrin memaklumkan UiTM juga perlu membuat inisiatif mengimbangi peningkatan tersebut termasuk menilai semula perbelanjaan operasi universiti termasuk melaksanakan dasar hibrid untuk menghadkan pergerakan pensyarah dan mahasiswa.
“Tetapi, tidak lagi seperti dahulu, semuanya balik kepada pegawai yang konsepnya serba boleh atau multitask, kebolehan yang pelbagai, konsep-konsep seperti reskill, upskill, unlearn, relearn semua itu berlaku.
“Di UiTM banyak usaha pendigitalan dan perkomputeran yang sedang kita buat untuk mengurangkan penggunaan kertas, maknanya pergerakan pensyarah dan mahasiswa dihadkan. Sistem hibrid kita gunakan dalam penyampaian perkhidmatan. Bila ada peningkatan itu (gaji), maka output kena meningkat, itu yang kita ukur,” jelasnya. – UTUSAN






