KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menghantar rakyat Palestin yang menerima rawatan di Malaysia pulang sekiranya keadaan di Gaza bertambah baik.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerajaan akan menghantar rakyat Palestin balik ke tanah air mereka.
Bagaimanapun, kata beliau, kerajaan mahu menunggu perang di Gaza reda dan gencatan senjata sepenuhnya dilakukan.
“Kita hantar rakyat Palestin pulang jika gencatan senjata berlaku di Gaza, sekurang-kurangnya kita akan tunggu hingga situasi bertambah baik dan pada ketika itu kita akan rancang bagaimana untuk menghantar mereka.
“Tetapi kemahuan mereka adalah untuk tidak tingaal terus di sini,” katanya ketika ditemui pemberita.
Mohamad mengadakan lawatan ke Laman Media bagi beramah mesra dengan pemberita yang membuat liputan bagi Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini.
Terdahulu, media melaporkan, seramai 41 rakyat Palestin yang cedera akibat serangan Israel di Gaza, dengan diiringi 86 waris mereka selamat tiba di Pangkalan Tentera Udara (PTU) Subang, di sini.
Ketibaan mereka sekitar jam 2 hingga 2.30 petang itu dengan menaiki dua pesawat A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), turut disambut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali.
Bagaimanapun, usaha kerajaan itu dikritik sehinggakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan menzahirkan perasaan amat kesal dan sedih atas sikap sesetengah pihak yang mengecam dan mengkritik langkah membawa rakyat Palestin yang cedera untuk dirawat di negara ini.
Mohamad yang juga merupakan Timbalan Presiden UMNO mengingatkan rakyat untuk tidak bimbang sekiranya rakyat Palestin akan menetap terus di Malaysia.
“Saya tidak rasa mereka mahu tinggal di sini secara terus, mereka mahu kita hantar balik,” katanya. – UTUSAN






