KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membentangkan Kerangka Ekonomi Madani minggu depan setelah mengumpul semua data dan maklumat daripada pelbagai kementerian sejak setahun lalu.
Jurucakap Kerajaan Madani, Fahmi Fadzil berkata, pembentangan itu hasil usaha meningkatkan ekonomi, sekali gus membolehkan rakyat membuat penilaian terhadap prestasi kerajaan hampir dua tahun mentadbir negara.
“Sekarang kita telah melepasi setahun sejak Kerangka Ekonomi Madani diluncurkan Julai tahun lalu. Ia adalah dasar penting yang dilakukan dan akan diumumkan seperti peralihan tenaga dan Dasar Gaji Progresif serta kenaikan gaji bagi penjawat awam.
“Hasil setahun ini, insya-Allah kita serahkan kepada Perdana Menteri untuk bentangkan kepada semua,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran dan Pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2024 peringkat Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, di sini, semalam.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, berdasarkan kepentingan ekonomi negara, kerajaan perlu segera memikirkan kaedah untuk merancakkan lagi usaha meningkatkan siling seperti menstruktur semula ekonomi agar negara dapat mengecapi kekayaan lebih besar.
Kata Anwar, usaha itu sebagai langkah bagi membolehkan Malaysia menjadi ekonomi utama di Asia Tenggara.
Fahmi berkata, segala usaha kerajaan akan dapat dilihat menerusi beberapa kejayaan yang diperolehi pada waktu kini.
“Sebagai rakyat biasa pasti kita mampu lihat usaha selama setahun setengah telah membuahkan dari segi hasil pelaburan meningkat berbanding tahun lalu, laporan tentang jumlah syarikat bagi setengah tahun pertama jauh lebih tinggi berbanding negara di rantau asia, ringgit makin kukuh dan inflasi lebih rendah.
“Selain kita tahu harga sawit tinggi, harga getah tinggi, harga padi tinggi dan pada masa sama hasil tindakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) dapat mengekang keterlaluan seperti sikap pencatutan.
“Jadi semua kementerian mula kumpulkan data dan saya percaya Perdana Menteri akan membentangkannya,” ujarnya. – UTUSAN






