PETALING JAYA: Perpaduan masyarakat pelbagai kaum di negara ini antara yang menjadi tonggak dalam mengekalkan keharmoniannya sejak mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
Tiada siapa dapat menafikan keunikan negara ini yang rakyatnya pelbagai kaum, agama dan kebudayaan tetapi mampu hidup bersama.
Bagi Profesor Emeritus Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr. Teo Kok Seong, masih ada kelompongan dalam isu perpaduan kaum di negara ini dan integrasi antara kaum perlu diperkukuhkan lagi.
Katanya, walaupun kaum Melayu, Cina dan India kelihatan bersatu padu serta tidak ada konflik terbuka seperti peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969, masih ada yang tidak memahami erti kerukunan atau masih tidak menyokong antara satu sama lain.
“Sepatutnya setelah hampir 70 tahun merdeka, integrasi atau percampuran Cina, Melayu dan India sudah wujud hampir sepenuhnya,” ujar beliau yang juga Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN).
Mengulas isu keharmonian kaum menjelang Hari Kebangsaan Ke-67 yang akan disambut tidak lama lagi, Kok Seong berkata, malangnya integrasi dalam kalangan masyarakat belum dicapai sepenuhnya.
“Kita dapat lihat bukan Melayu belum sedia berintegrasi dalam struktur sosial Melayu.
“Jika berkaitan bahasa Melayu, mereka terpaksa belajar bersungguh-sungguh khusus untuk lulus peperiksaan sahaja dan selepas itu mereka ketepikan bahasa Melayu.
“Mereka tidak mahu integrasi sepenuhnya, integrasi sikit-sikit sahaja,” kata anak kelahiran Tumpat, Kelantan itu.
Jelasnya, isu integrasi kaum mungkin perkara sensitif serta pahit untuk diterima, sekurang-kurangnya semua orang perlu tahu ia adalah masalah kelompongan dalam perpaduan.
Isu derma sekolah melibatkan syarikat arak contohnya kata beliau, kalau ada faham memahami antara masyarakat pelbagai kaum, maka tidak akan ada bantahan.
“Ada individu kata isu derma sekolah daripada syarikat arak ini tidak ada kena mengena dengan Melayu dan umat Islam. Mana boleh kata macam itu.
“Ini negara orang Melayu, orang Melayu penduduk asal, majoriti dan dominan serta agama orang Melayu iaitu Islam menjadi agama Persekutuan, jadi mana boleh isu dana syarikat arak tiada kena mengena dengan Melayu dan umat Islam,” ujarnya. – UTUSAN






