KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah SRC International Sdn. Bhd., Tan Sri Ismee Ismail bersetuju bahawa ahli-ahli lembaga pengarah yang dilantik oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak merupakan golongan profesional dan bukannya ‘patung’.
Beliau turut bersetuju dengan cadangan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib bahawa bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nik Faisal Ariff Kamil juga merupakan seorang akauntan berdaftar dan datang dari keluarga yang elok.
Pada perbicaraan jenayah membabitkan Najib, mahkamah dimaklumkan bahawa Nik Faisal merupakan cucu kepada bekas menteri besar Kelantan dan bekas speaker Dewan Rakyat, Nik Ahmad Kamil.
Muhammad Shafee: Sekiranya Najib ingin menjadi ‘puppet master’, beliau tidak akan memilih individu yang berkualiti, bukan.
Ismee: Itu satu penyataan yang adil.
Muhammad Shafee: Beliau mesti akan pilih pak turut, bukan.
Ismee: Ya.
Pada prosiding sebelum ini, Ismee dalam keterangannya sebagai pihak ketiga memberitahu beliau tidak mungkin membantah atau tidak melakukan arahan diberikan oleh Najib yang juga pemegang saham tunggal syarikat itu kerana baginya, segala yang dilakukan oleh Najib adalah untuk kebaikan negara dan SRC International adalah syarikat pelaburan strategik negara.
Pada 27 Jun lalu, salah seorang bekas ahli Lembaga Pengarah SRC International, Datuk Suboh Md. Yassin memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau hanya berperanan sebagai ‘rubber stamp’ dalam syarikat pelaburan strategik negara itu dalam melaksanakan kehendak Najib selaku pihak atasan.
Pada 7 Mei 2021, SRC International memfailkan saman sivil terhadap Najib dan Nik Faisal menuntut ganti rugi AS$1.18 bilion.
Dalam tuntutan tersebut, lima bekas pengarah syarikat itu turut dinamakan sebagai pihak ketiga. Sebelum ini, SRC menggugurkan lima individu berkenaan dalam saman itu dan hanya mengekalkan Najib dan Nik Faisal sebagai defendan.
Lima individu itu ialah Datuk Suboh Md. Yassin, Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Shahrol Azral, Ismee dan bekas Pengarah SRC, Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar.
SRC International yang juga anak syarikat 1MDB selaku plaintif, dalam writ saman mendakwa kesemua defendan bersubahat dan melakukan pecah amanah. Najib turut didakwa menyalahgunakan kuasanya dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana itu.
SRC International memohon deklarasi bahawa semua defendan adalah bertanggungjawab untuk membayar kerugian dana pelaburan itu akibat penggunaan jumlah pinjaman terbabit, selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi tambahan, faedah, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung 17 September ini. – UTUSAN






