KANGAR: Kemerdekaan bukan sekadar satu rutin sambutan tahunan sebaliknya ia mengingatkan seluruh rakyat mengenai nikmat keamanan dan kestabilan sebuah negara bangsa.
Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, sebagai tanda kesyukuran, nikmat kemerdekaan tersebut mestilah diisi dengan menghayati dan memahami akan tanggungjawab sebagai seorang warganegara Malaysia yang berdaulat.
Titah baginda, dalam menghayati erti kemerdekaan, seluruh warganya perlu mengelakkan daripada terlibat dengan sebarang anasir yang boleh mengganggu gugat kedaulatan dan keselamatan negara.
“Selain itu, kemerdekaan hendaklah diisi dengan usaha untuk membangunkan negara ini secara bersungguh-sungguh serta mempertingkatkan pencapaian terbaik dalam pelbagai bidang demi mencapai kemakmuran, kestabilan dan kegemilangannya,” titah baginda selepas berkenan mengadakan lawatan ke muzium memori Namibia sempena program Safar Ilmi MAIPs ke negara tersebut baru-baru ini.
Berangkat sama ialah anakanda baginda yang juga waris yang kedua negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Sementara itu, baginda bertitah, muzium berkenaan berfungsi sebagai pusat repositori bahan dan memorabilia yang berkaitan dengan penentangan anti-kolonial Namibia dan perjuangan pembebasan bersenjata.
“Antara yang menarik dipamerkan di muzium berkenaan adalah mengenai sejarah penglibatan Malaysia dalam Misi Pengaman Kumpulan Bantuan Peralihan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNTAG) yang menyelia pilihan raya Namibia dan peralihan kepada kemerdekaan pada 1990,” titah baginda.
Muzium tersebut dirasmikan pada 20 Mac 2014 oleh bekas Presiden Republik Namibia, Dr. Hifikepunye Lucas Pohamba. – UTUSAN






