KUALA LUMPUR: Isteri bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dibenarkan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam bagi mendapatkan pasport sementara untuk ke China bagi tujuan kerja rasmi.
Hakim Azura Alwi membenarkan permohonan Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, 66, selepas peguamnya, Nizamuddin Hamid memaklumkan anak guamnya memohon untuk mendapatkan sementara pasportnya yang berada dalam simpanan mahkamah bermula 28 Ogos hingga 9 September ini.
Mahkamah turut memerintahkannya untuk memulangkan pasport berkenaan dalam tempoh 48 jam dari tarikh 9 September itu.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd. Zamry tidak membantah permohonan tersebut.
“Namun, pemohon perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dalam tempoh 48 jam selepas kembali ke Malaysia,” kata Mohd. Fadly.
Sebelum ini, media melaporkan, Na’imah telah mendapat kebenaran beberapa kali daripada mahkamah bagi mendapatkan pasport untuk ke Switzerland, Singapura, London dan Venice.
Pada 23 Januari lalu, Na’imah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan gagal mematuhi notis mengisytiharkan hartanya termasuk Menara Ilham serta beberapa aset lain di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Kemudian pada 29 Januari, Daim, 85, turut didakwa atas pertuduhan sama membabitkan satu akaun bank, tujuh kenderaan mewah, 38 syarikat dan 25 hartanah.
Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM100,000 jika sabit kesalahan. – UTUSAN






