KUALA LUMPUR: Seorang peniaga trak makanan dihukum penjara empat hari dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menghalang anggota Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjalankan tugas, lima hari lalu.
Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Amirul Shafiq Osman, 24, dan memerintah tertuduh menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkap iaitu pada 5 Ogos lalu.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara lima bulan jika gagal bayar denda.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menghalang anggota DBKL Mohd Fadzil Ithnin, 35, yang sedang menjalankan kerja-kerja pemeriksaan.
Kejadian itu didakwa dilakukan di tempat letak kereta di Taman Titiwangsa di sini pada pukul 1.30 petang, 3 Ogos lalu.
Lelaki tersebut didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah kanun sama yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda yang boleh sampai RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, R.Harvind mencadangkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan memohon pertimbangan diberikan terhadap kecederaan yang dialami oleh mangsa akibat tindakan tertuduh.
Peguam, Muhammad Rhastdan Abdul Wahab yang mewakili tertuduh memohon hukuman paling minimum dan mengecualikan hukuman penjara atas alasan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap dan merupakan kesalahan pertama.
Berdasarkan fakta kes, pengadu yang juga Penolong Penguat Kuasa DBKL bersama anggota seramai 14 orang petugas penguat kuasa membuat operasi tindakan khas penjaja siri 10/2024 di dua lokasi iaitu di Jalan Temerloh dan Jalan Tembeling, Taman Tasik Titiwangsa.
Semasa proses tindakan dilakukan, berlaku provokasi oleh penjaja lori makanan dipandu oleh tertuduh yang cuba melarikan diri daripada diperiksa dengan memandu secara merbahaya.
Mangsa telah dilanggar dan mengalami kecederaan bengkak kaki di bahagian paha serta motosikal penguat kuasa tersebut juga mengalami kerosakan.- UTUSAN





