GEORGE TOWN : Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa selepas merampas dadah jenis syabu bernilai RM1.04 juta dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar negeri ini antara 20 hingga 22 Ogos yang lalu.
Ketua Polis negeri, Datuk Hamzah Ahmad berkata, dalam siri serbuan yang dijalankan itu, seorang lelaki warga tempatan dan empat lelaki warga asing berumur antara 23 tahun hingga 40 tahun turut ditahan kerana disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah jenis syabu ke negara jiran.
“Hasil pemeriksaan yang dilakukan terhadap kenderaan suspek, polis kemudian merampas 30 bungkusan plastik berwarna keemasan bertulis ‘Guanyinwang Refined Chinese Tea’ berisi ketulan dan serbuk kristal disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 31.41 kilogram (kg) bernilai RM1.04 juta.
“Hasil risikan mendapati, aktiviti pengedaran dadah oleh sindiket ini bergiat aktif sejak Januari 2024 yang menjalankan pengedaran dadah jenis syabu untuk dihantar ke pasaran luar negara,” katanya di sini, hari ini.

Menurut Hamzah, modus operandi sindiket ini adalah mengambil upah menghantar syabu dari pengedar-pengedar tempatan ke pasaran negara jiran melalui jalan laut.
“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ini boleh digunakan oleh seramai 150,000 orang atau 150,000 kali penggunaan.
“Selain merampas dadah, polis turut menyita dua buah kereta dan sebuah motosikal bernilai RM26,500 serta wang tunai berjumlah RM4,000. Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta pula dianggarkan berjumlah RM1.07 juta,” katanya.
Tambah Hamzah, hasil ujian saringan air kencing mendapati, kelima-lima suspek negatif semua jenis dadah dan semakan lanjut mengesahkan, kesemua tangkapan tidak mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
“Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari bermula 21 Ogos sehingga 27 Ogos ini (esok) untuk siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan 12 kali sebatan rotan,” katanya.-UTUSAN






