KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri akan memanggil Persatuan Renang Terengganu bagi mendapatkan penjelasan berhubung penyertaan atlet wanita dalam acara terjun pada Sukan Malaysia (Sukma), minggu lalu.
Pertemuan bersama Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) itu susulan penyertaan atlet berkenaan yang melanggar garis panduan serta tidak diketahui kerajaan negeri Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, maklumat awal mendapati atlet terbabit menyertai Sukma dengan duit poket sendiri.
Beliau menjelaskan, pihaknya telah memberi penegasan tidak membenarkan penyertaan atlet ketika menerima permohonan daripada Persatuan Renang Amatur Terengganu, 5 Jun lalu.
“Ketika itu, kami memaklumkan hanya akan memberi pertimbangan untuk menyertai acara terjun sekiranya persatuan ingin menghantar atlet bukan Islam kerana perlu ikut garis panduan yang diperkenalkan.
“Malangnya, terdapat atlet wanita menyertai acara terjun di luar pengetahuan saya dan selepas dirujuk MSNT, ianya penyertaan melalui persatuan dan di bawah tanggungan sendiri.
“Saya sangat terkejut dan berdukacita atas penyertaan atlet itu. MSNT telah diminta menyediakan laporan lengkap dan kita akan panggil persatuan renang untuk memberi penjelasan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Hishamuddin menjelaskan, kerajaan negeri hanya akan mengambil tindakan selanjutnya selepas mendengar penjelasan daripada semua pihak berhubung isu berkenaan yang tular sejak beberapa hari lalu.
Menurut beliau, garis panduan atau kod etika berpakaian sukan itu terpakai kepada semua atlet beragama Islam mewakili Terengganu, walaupun mereka bukan anak jati negeri tersebut.
Jelas Hishamuddin lagi, tidak patut timbul isu kerajaan negeri mendiskriminasi golongan wanita, sebaliknya sentiasa berusaha memartabatkan maruah kaum Hawa termasuk dalam bidang sukan.
Terdahulu tular gambar dua atlet wanita Terengganu dalam acara terjun pada temasya dwitahunan itu dengan penyertaan mereka dikatakan dibuat tanpa kebenaran kerajaan negeri.
Isu terbabit mengundang pelbagai reaksi terhadap kerajaan negeri Terengganu yang terkenal dengan kod etika berpakaian sukan patuh syariah terhadap ahli sukan beragama Islam. – UTUSAN






