GOMBAK: Peguam syarie mewakili Syamsul Yusof iaitu Azmi Rais mengakui tidak mengetahui mengenai dakwaan anak guamnya itu sudah melafazkan cerai terhadap isterinya di luar mahkamah.
Malah, menurut Azmi, Syamsul atau nama sebenarnya Mohd Syamsul Mohd Yusof, 40, tidak pernah membuka mulut mengenai perkara itu kepadanya.
“Setakat ini saya tidak menerima sebarang maklumat mengenai dakwaan lafaz di luar mahkamah. Saya juga tidak menerima saman atau dimaklumkan oleh Syamsul berkaitan hal ini.
“Syamsul hanya memfailkan tuntutan perceraian dengan kebenaran mahkamah di bawah Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor (EUUKIS),” katanya.
Azmi memaklumkan perkara itu ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini hari ini.
Selain itu, katanya, Syamsul juga menerima dengan hati terbuka apabila tidak dapat melafazkan cerai terhadap Ira Kazar pada hari ini.
“Dia terima sahaja. Dan menanti tarikh sebutan yang seterusnya (25 September) depan,” katanya.
Syamsul menfailkan cerai terhadap Ira pada 19 Ogos lalu kerana dikatakan tidak lagi mempunyai persefahaman.
Sebutan yang sepatutnya berlangsung pada 27 Ogos itu terpaksa ditunda kepada 25 September depan memandangkan Ira baru sahaja melantik peguam.
Untuk rekod, Syamsul dan Ira atau nama sebenarnya Faghirah Fatini Kazaruddin berkahwin pada 6 Januari tahun lalu di Selatan Thailand.
Perkara itu disahkan oleh Syamsul menerusi sebuah video yang dimuat naik dalam Instagram pada Januari tahun lalu.
Syamsul juga sebelum ini pernah berkahwin dengan Puteri Sarah pada 8 Mac 2014 dan bercerai pada 14 Jun tahun lalu.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 7, dan Sumayyah,5. – UTUSAN






