SHAH ALAM: Tauliah mengajar agama Islam Ustaz Don atau nama sebenarnya Don Daniyal Don Biyajid ditarik balik berkuat kuasa 24 Julai lalu.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, keputusan tersebut dibuat menerusi Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tauliah pada tarikh tersebut.
“Surat penarikan telah dikeluarkan oleh Setiausaha Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pada 31 Julai 2024 dan Don Daniyal diberikan tempoh 14 hari untuk merayu berkuat kuasa daripada surat penarikan tauliah diterima.
“Keputusan penarikan tauliah mengajar Don Daniyal dibuat berdasarkan kuasa Jawatankuasa mengikut subseksyen 118 (3) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 yang dibaca bersama perenggan 17(d) Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008,” katanya semalam.
Terdahulu, tular dalam media sosial berhubung surat edaran MAIS bertarikh 6 Ogos lalu kepada masjid dan surau daerah di Selangor.
Surat tersebut menyatakan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tauliah MAIS memutuskan untuk menarik balik tauliah mengajar terhadap lima pemegang tauliahnya termasuk kepada Ustaz Don berkuat kuasa 24 Julai lalu.
Mengikut surat edaran terbabit, tauliah mengajar bagi pendakwah selebriti tersebut adalah sepatutnya bagi tempoh 2 Julai 2020 hingga 30 Jun 2025.
Selain Ustaz Don, empat individu lain yang turut menerima nasib sama ialah Mohd. Shahabudin Md. Yatim, Mohd. Udzair Mohamad Zaid, Muhammad Hairullah Hassim dan Syed Mohd. Norhisyham Tuan Padang.
Terdahulu, pendakwah terkenal itu dilapor mengambil sikap berlapang dada dengan kritikan pedas yang dilemparkan warganet terhadapnya.
Menurutnya, dia tidak berkecil hati dan beranggapan masyarakat awam dalam laman sosial tidak tahu secara terperinci kemelut yang melandanya sejak Jun lalu. – UTUSAN






