SEJAK dari awal penubuhannya di peringkat Persekutuan, isu Kerajaan Perpaduan sentiasa menjadi topik hangat kerana ia menjadi formula baharu dalam landskap politik negara.
Walaupun pada awalnya mencetuskan perdebatan sejauh mana ‘ketahanannya’, sejak dua tahun berlalu, formula itu masih dipertahankan oleh parti-parti yang mendukungnya.
Di peringkat Persekutuan ia semakin diterima, namun hingga kini ada beberapa negeri yang dikuasai parti-parti yang mendukung kerjasama politik itu tetap tidak mengamalkan formula tersebut.
Antaranya, Sabah dan Sarawak serta Johor yang terlebih dahulu mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) masing-masing sebelum tertubuhnya Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
Mengambil contoh di Johor, kerajaan negeri dipimpin oleh Barisan Nasional (BN) yang menguasai lebih dua pertiga Dewan Undangan Negeri, iaitu memenangi 40 daripada 56 kerusi dalam PRN 2022.
Walaupun selepas penubuhan Kerajaan Perpaduan, kerajaan Johor tetap kekal sebagai Kerajaan BN, tidak mengamalkan formula Kerajaan Perpaduan.
Pelbagai desakan cuba dilakukan supaya formula Kerajaan Perpaduan diterima dan dilaksanakan di Johor, namun kerajaan negeri pimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi tidak ‘goyah’, tetap bertahan dengan Kerajaan BN.
Asasnya mudah, Kerajaan BN ditubuhkan sebelum wujudnya Kerajaan Perpaduan!
Tetapi pada masa yang sama, Kerajaan BN Johor ‘mesra’ dan menyokong Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Namun episod desakan supaya diwujudkan Kerajaan Perpaduan tidak berhenti, khususnya oleh Parti Amanah Negara (Amanah) Johor.
Malah, seawal pengumuman oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota untuk mengisi kekosongan kerusi tersebut, Amanah Johor antara parti yang awal mencanang mahu bertanding kerana di Johor bukannya Kerajaan Perpaduan.
Tindakan itu dianggap mahu ‘test market’, malah ada yang menyifatkannya sebagai provokasi terhadap kerajaan BN Johor sedangkan kepimpinan Amanah sedar bahawa berdasarkan persetujuan bersama dalam
Kerajaan Perpaduan, kekosongan kerusi akan ditandingi oleh parti penyandang.
Di DUN Mahkota, nyata yang berhak bertanding pada PRK ini adalah calon BN daripada UMNO.
Malah, UMNO telah memberi laluan kepada Amanah bertanding dalam PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram di Johor sebelum ini susulan kematian Timbalan Presidennya, Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Namun kenyataan Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan yang mencadangkan kerajaan BN Johor membentuk Kerajaan Perpaduan jika calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah memenangi PRK Mahkota pada 28 September ini seperti yang disiarkan sebuah portal berita baru-baru ini boleh mencetuskan rasa kurang senang, khususnya dalam kalangan pemimpin UMNO.
Walaupun kenyataan ‘Kita meminta, bergantung pada yang nak memberi. Terpulang pada dia (UMNO), ‘baton’ pada dia sekarang”, hanyalah respons terhadap soalan wartawan, namun komen tersebut boleh dianggap usaha terbaru ‘mendesak’ Kerajaan BN Johor menerima dan melaksanakan formula Kerajaan Perpaduan di Johor.
Sekiranya desakan itu berterusan, isu penubuhan Kerajaan Perpaduan boleh menjadi ‘duri dalam daging’ dalam hubungan antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan, khususnya UMNO-BN dengan Amanah.
Malah, polemik itu yang sentiasa membara dalam hubungan dan kerjasama dengan Kerajaan BN Johor boleh menjejaskan kempen calon BN dalam PRK DUN Mahkota.
Mungkin lebih molek bagi Amanah ‘tutup mulut’ seketika tentang penubuhan Kerajaan Perpaduan di Johor sehingga PRK DUN Mahkota selesai diadakan kerana polemik antara Kerajaan BN Johor dan Amanah itu boleh menjadi ‘bola tanggung’ bagi parti lawan menyerang mereka.
Usah ambil mudah isu ini kerana beberapa pemimpin pembangkang turut mempersoalkannya dan dijadikan modal kempen.
Mungkin sesuai masanya Onn Hafiz dan Aminolhuda duduk semeja sebentar sambil pekena teh tarik dan pisang goreng. – UTUSAN






